Saturday, November 07, 2020

Pergi

Jumaat petang Rahida meninggal. Penyakit yang sama seperti Wakdi, dengan jarak diagnos dan kematian yang sama singkat, sebulan lebih. Aku tidaklah serapat mana dengan Rahida, tapi jika mak ayah memang kenal dan kahwinnya aku pergi sampai nun ke Kedah, maka personalitinya tentulah bagus dan kehilangan arwah pada usia sebegini adalah satu kejutan. 

Ramah, tidak kedekut, selalu bertanya khabar mak ayah, aku masih teringat gaun perkahwinannya yang serba putih yang aku bisikkan ke diri sendiri "macam baju kahwin Siti Nurhaliza". 

Rapuhnya hidup ini, bila bila masa kita boleh mati. 

Sunday, October 18, 2020

Apa itu rumah

 


Dua tahun lepas di Annapurna Base Camp, aku bangun awal untuk menikmati udara segar. Lantaran cuaca sejuk, aku masuk ke dalam ruang kafeteria dan ku lihat ada Amal sedang menulis. Aku duduk sedikit jauh dari dia, dan merenung ke luar tingkap melihat gunung ganang diselimut awan. Perkara pertama aku terfikir, adalah walau secantik mana tempat ini, aku masih rindu mahu pulang. Tentulah mahu pulang ke rumah, tetapi bukanlah rumah ampang, mahupun rumah ibu bapaku yang aku rindukan. Aku rindu pada rumah yang aku sendiri tak tahu dimana, bagaimana bentuknya dan siapa didalamnya. Sambil menyirup kopi panas kutanyakan pada Amal, "what is home?"

Aku sudah lupa apa jawab amal tapi sekarang aku lebih mengerti apa yang dimaksudkan "home is where the heart is". Apabila aku google quotes tentang what is home, terlalu banyak sebenarnya pengertian rumah ini. Cecelia Ahern misalnya berkata rumah bukanlah benda zahir, tetapi satu perasaan. Perasaan rindu pada rumah bermakna rindu pada sesuatu yang membuatkan kita gembira, hangat, penuh kebahagiaan. Patutlah Malala berkata kemana pun kita pergi, hatta ke syurga sekalipun, kita tetap akan merindu rumah kita. Syurga zahir tak bermakna tanpa syurga di hati. 

Menarik juga dalam bahasa melayu, tiada perbezaan seperti Bahasa Inggeris "home vs house", lantaran rumah itu sendiri berperanan besar dalam menyediakan ruang bukan sahaja untuk sokongan ekonomi malah sokongan sosial dalam masyarakat kampung. Atau mungkin saja tiada beza istilah kerana home semestinya house untuk masyarakat Melayu.

Wednesday, October 14, 2020

PKPB day 2


Semalam bermula PKPB, kesan dari gelombang ketiga Covid 19. Bagi aku memang salah politikus yang tak mematuhi SOP ketika PRN Sabah, membawa kepada penyebaran serata Malaysia.

Untuk aku kesan ketara adalah rutin ke Babel terhenti. selama hampir sebulan setengah melanggan Babel, rutin kami berubah dengan workout pagi petang, bangun seawal 6 pagi. Kami juga menjaga makanan dengan tidak lagi makan nasi pada hari minggu, tiada garam dan tentulah tidak minum air manis. Kami cuba untuk konsisten dengan menggunakan YouTube untuk workout. semalam pagi kami ikut Tom Daley Hiit, tengah hari aku masak ayam kung pao dan tumis kangkung, petangnya pula lesmill body combat sebelum aku pulang ke Shah Alam.

Pelaksanaan PKPB ini tentulah memberi kesan pada ekonomi, juga pekerjaan. Ada kawan yang kena CTO dengan notis singkat. Adik juga terkesan dengan Neway, dan aku segan mahu tanya lebih. Mungkin juga tekanan membuat adik marah selalu pada Eka, aku tak tahu..

Monday, August 17, 2020

Fasa Fasa Kehidupan

Apabila kau sudah berpasangan, kawan2 mungkin akan melayan kau lain berbanding dulu. Mungkin bergantung pada penerimaan kawan2  kau pada pasangan kau, atau kau sendiri yang mencipta jurang pemisah tanpa kau sedar. 
Aku selalu percaya pada kejujuran, maksudnya luahkan sahaja apa yang tidak kena. Mahu berjalan tapi tidak mahu ajak kerana sebab apapun pun? Maka beritahulah untuk mengelak wasangka dan ralat. Permainan teka meneka ini meletihkan. 
Tapi tak mengapalah, hormat keputusan manusia kerana selagi tidak ada mudarat, manusia bebas memilih apa yang mereka rasakan terbaik untuk mereka. Aku sepatutnya gembira melihat orang lain gembira. Dan sememangnya aku mahukan yang terbaik untuk mereka semua.

Tuesday, July 28, 2020

Bahas istilah, kemanusiaan hilang.

Walaupun hari ini berita paling besar adalah Najib didapati bersalah oleh mahkamah tinggi atas 7 pertuduhan pecah amanah, salah guna kuasa dan penggubahan wang haram, aku lebih terasa peritnya akan pemikiran majoriti rakyat yang menolak konsep penghijrahan nabi dan umat islam ke kota madinah sebagai "refugee" atau "pelarian". UMNO dan PAS, juga Menteri Agama tak bersetuju dengan kenyataan Mat Sabu yang menyamakan penghijrahan Nabi dengan pelarian Rohingya. Mereka sama ada menganggap kenyataan itu menghina Nabi atau istilah pelarian tidak tepat.
Tetapi isu kemanusiaan yang cuba dibangkitkan Mat Sabu tak dipedulikan langsung. Selama ini kisah hijrah Nabi dijadikan contoh teladan bagaimana Kaum Ansar menerima dengan hati terbuka Kaum Muhajirin yang diancam keselamatan dan nyawa jika terus tinggal di Madinah. 
Jijik sungguh membaca komen2 di media sosial yang menganggap Nabi bukan pelarian, yang mana Madinah menjemput Nabi untuk menjadi pemimpin.

Sunday, June 28, 2020

Hanya Janji

Tiada akad bertukar salam
Tiada kontrak bertanda tangan
Tiada duit sebagai hantaran
Tiada majlis restu dan doa

Hanya erat tangan digenggam
Hanya nota cinta bertulis tangan
Hanya diri sebagai sokongan
Hanya janji mengikat cinta

Monday, June 08, 2020

Pasca PKP sepertinya tidak semudah impian.

Kadang2 kita punya waktu rehat, untuk lebih bersedia akan waktu selepas itu, walaupun kita tahu payah jerih yang akan dilalui, kita mesti lalu untuk sampai ke destinasi akhir.
PKP dan pandemik Covid 19 memberi kesan besar pada ekonomi negara, dan tentulah rakyat yang dibuang kerja merasa sangat terkesan.
Aku teringat sewaktu turun dari Base Camp di Annapurna, kami sepatutnya berjalan terus ke Perhentian Bamboo yang mungkin mengambil masa dalam 6 jam, tetapi kami terpaksa bermalam pada perhentian Deurali yang kurang satu jam jaraknya dari Base Camp kerana tanah runtuh yang memecahkan jambatan kecil penghubung Deurali ke perhentian Himalaya. 
Dapat tidur di Deurali satu pengalaman menarik kerana punya lebih masa untuk berbual dan mengenal sesama kami. Tenang, sambil bermain kad dan gelak ketawa. Tetapi perjalanan esoknya memaksa kami berjalan hampir 12 jam ke Jhinu Danda untuk menjimatkan masa. Jika kami tidur di Bamboo, maka lagi jauhlah perjalan dari Bamboo ke Ghandruk, perhentian terakhir. 
Aku ingat lagi mereka yang fit berada di hadapan dan sampai lebih awal. Namun ada kumpulan dibelakang seramai 4 orang termasuk aku yang lambat. Aku sengaja menjadi sweeper lantaran rasa bersalah kerana aku yang memberi kata putus untuk terus ke Jhinu Danda. Mereka yang dibelakang nampak berusaha keras, ada yang kerana kecedaraan mahupun tidak fit. Perjalanan perlahan dengan aku cuba untuk berbual sedikit untuk menceriakan suasana. Sampai sahaja di Jhinu Danda, ada yang terduduk menangis. 
Susah payah hidup pasca PKP ini mungkin aku boleh kaitkan dengan pengalaman itu. Ada yang dapat melalui dengan senang, mungkin kerana cukup bersedia atau nasib yang baik, ada juga yang akan ketinggalan, terpaksa bersusah, atas pelbagai sebab. Aku juga tidak tahu akan nasibku dimasa hadapan. Harapnya semua baik2 sahaja. 

Thursday, May 28, 2020

Hari ke 74 PKP (atau hari ke 27 PKPB)

Pagi ini hujan lebat, bermula turun pikul 9.30 pagi. Dari subuh langit sudah mendung, kami sedikit malas tetapi aku bangun juga menyediakan sarapan "sihat". 


Aku sautee segala macam sayur dengan minyak zaitun sambil meletakkan garam, herba itali juga serbuk cili. kemudian aku tuang telur dalam periuk. Boleh tahan juga rasanya tapi mungkin aku boleh tambah perasa seperti sos tiram untuk menguatkan rasanya.

Semalam aku sudah mula bersenam. Rancangan asal mahu joging petangnya tetapi kerana hujan, kami memilih untuk turun naik tangga. Dapatlah 3 kali naik tangga dari G ke 20. Malamnya Kairul sediakan pecal, yang kuahnya jiran di Balakong yang buat. 


Sunday, May 24, 2020

Hari ke 70 PKP (atau hari ke 23 PKPB)

Raya sewaktu PKP selain ketiadaan ramai pengunjung dan pergi beraya, adalah sama sahaja bagi aku. Selepas sahur kelmarin, aku terus ke pasar 16 membeli santan dan bahan2 masakan. Ayam kampung ngah dah beli hari sebelumnya, satu langkah yang bijak kerana Cik Nor sewaktu menjenguk kami mengisi ketupat merungut ayam kampung habis/tidak ada di pasar 16 dan pasar 6. 
Pulang sahaja aku dari pasar dalam pukul 6, sudah meriah di porch rumah semuanya ada memotong bawang2, mengisi ketupat dan memarut kelapa. Aku seperti tahun lepas memilih untuk memasak. Menu tahun ini sama, ada kuah kacang, rendang kerang, rendang ayam, masak kicap santan, sayur soon dan tambahan masak lodeh di pagi raya. Kehadiran Eka memudahkan lagi kerja2 memasak.


Jika tahun lepas aku seorang memasak ditemani lagu2 BTS sambil dilamun cinta, juga semangat berkongsi gambar2 masakan di media sosial, tahun ini pula tiada perkongsian gambar. Terasa fuck up pula berkongsi gambar2 makanan di waktu krisis covid 19 yang tentunya memberi kesan pada ramai orang secara ekonomi. Akmal, lelaki baru berkahwin anak satu yang aku bantu melalui Syed Azmi database ada mesej aku mengucapkan raya dan terima kasih. Ramai lagi sepertinya, yang aku tahu xkan dpt aku bantu semuanya.

Semalam pagi raya kerana tidak ada solat raya maka semua bersiap2 di rumah secara tenang dan santai. Aku bangun awal menyediakan lodeh. Asalnya mahu masak kicap ayam tapi melihat byk lg lebih semalam, aku masukkan balik dlm peti ais. Tentunya kunjungan berkurang tahun ini jadi takut banyak lauk berlebih.




Mak nampak ceria pagi ini. Ayah juga sudah ok. Pagi syawal yang ceria tentunya. Aku memakai baju biru adik tahun lepas kerana untuk sedondon dengan mereka. Selepas sesi bergambar, adik sekeluarga bergerak ke Klang. Kami tidur sementara menunggu tetamu. Long datang pukul 1 dengan Am. Kemudian Bik Dah datang diikuti Palah. Aku bergerak ke Balakong pukul 6.15 petang. Beraya sekejap di Balakong makan soto, sebelum ke rumah Shahul untuk BBQ.


Aku masih segan2 dengan kawan2 Shahul. Lambat nak warm up. Ayam perap Hazrul sangat sedap, juga ayam sambal yang Amir buat. Kami lepak sampai pukul 10.30 malam. Aku hantar Kairul pulang Balakong dan terus balik ke Shah Alam. 

Friday, May 22, 2020

Hari ke 67 PKP (atau hari ke 20 PKPB)

We were the last two people on earth. 

Outside was quiet, as if being deserted.

We both stayed in this home, 
minding our own things. 

Be it what's for breakfast, 
what's for lunch, 
what's for tea time, 
what's for dinner, 
and what's for supper?
Or
what color for the paint,
what color for the tiles,
what color for the cookies,
what color for the seismic,
and what color for the sunset? 

Well now that i think about it,
We were not the last two people on earth,
But we was the last person on earth.

Be it the shared t shirt,
The shared plate,
The shared monitor,
The shared toothpaste,
And the shared kiss.

We was the last person on earth.

kau-aku

Monday, May 18, 2020

Hari ke 63 PKP (atau hari ke 16 PKPB)

Lagi 5 hari nak raya. Tiada kemeriahan dapat dilihat diluar tentunya, dan ramai yang tak dapat pulang ke kampung kerana larangan rentas negeri. Bagi aku tak perlu sangat nak romanticize balik kampung ini. Tapi mungkin aku tak dapat memahami kerana aku pulang ke Shah Alam 2 kali seminggu berbanding mereka yang pulang ke kampung mungkin 2 kali setahun. Jadi Hari Raya itu memang ditunggu2.

Khamis lepas ada makan2 di rumah aku dengan budak2 biasa, Asalnya mahu dibuat di rumah Shahrul, tapi tengah hari khamis itu baru dia sedar yang kondonya melarang menerima tetamu kerana Covid-19. Maka aku menawarkan rumah aku seperti biasa. Paginya sebelum bergerak pulang ke Ampang dari Shah Alam, aku dan Kairul singgah ke Pasar 16 untuk membeli barang sedikit. Mak mahu makan cendawan. Ada juga ikan Mayong yang mak teringin minggu sebelumnya. Karul mencadangkan membeli air kelapa untuk makan2 malamnya. aku beli 5 biji air kelapa dengan harga RM2.90 sebiji. 

Shahul paling awal sampai, dalam tengah hari. Shahrul dan Harry sampai dalam pukul 5.30 petang untuk menyediakan laksa sarawak. Harry menggunakan pes jenama Haji Manan, pes yang sama aku ada. Kemudian Amal datang membawa Cinnamon roll, diikuti Aisyah membawa kuih2. Malam itu banyak yang diborakkan, tambahan orang macam Amal yang tak pernah menghadiri apa2 perjumpaan sejak PKP bermula, Tentulah dia sangat teruja bercerita. Amal menyatakan rancangan untuk pulang juga, tapi masih tidak pasti berjaya atau tidak. Shahul dan Shahrul memang tidak kisah beraya di KL, jadi ok sahaja untuk mereka. Mereka pulang dalam pukul 10.30 malam.


Hujung minggunya aku pulang ke Shah Alam Sabtu petang. Sebelum pulang, aku dan Kairul singgah ke Court 28 untuk membawa Coway di salah satu rumah sewanya balik ke Balakong. Sejak PKP, perniagaan AirBnb jatuh merudum. Kosong. Awal tahun Kairul sudah menukar satu rumahnya dari AirBnb ke sewa jangka panjang kerana sudah terasa kesan Covid seawal Januari tahun ini. Rumah yang satu lagi dijangka bulan Jun ini penyewa masuk. Sewa tidak dapat terlalu tinggi kerana harga pasaran yang lemah, tapi lebih baik disewakan dari terus kosong dan mengharap AirBnb.

Hari Ahad aku masak nasi Ambeng. Dari pagi selepas sahur aku sudah bergerak ke Pasar 16 untuk membeli barang2 basah. Kena datang awal pagi untuk mengelak barisan beratur yang panjang. Aku pernah datang pukul 8.30 pagi dan barisannya Ya Allah begitu panjang. Setiap orang akan disaring suhu badan, dan kerana ada kuota maksimum jumlah orang sekali ada dalam pasar, maka terpaksalah menunggu sehingga orang kelaur pasar satu persatu. Tengah harinya mak ajak ke Padang Jawa untuk ambil baju raya yang sudah siap dijahit, dan juga ke Gio untuk membeli baju raya Eka. Eka memilih baju kurung chiffon sekali dengan tudung. Awalnya dia mahu membeli baju raya yang berseluar tapi sebab Gio tidak ada, maka baju kurung itu sahaja lah. aku tidak ada baju raya baru tahun ini. Patutnya ada kerana beli sekali dengan mak baju beerwarna merah jambu belacan, tapi tak sempat hantar ke tukang jahit. Mahu jahit gaya moden, slim fit tapi Cik Pah Padang Jawa tak boleh buat. Maka tangguh2 akhirnya ke PKP.






Sunday, May 10, 2020

Hari ke 54 PKP (atau hari ke 7 PKPB)

Pukul 2 petang tadi PM membuat pengumuman PKPB dilanjutkan sehingga 9 Jun. Antara isi penting adalah tiada pergerakan merentas negeri. Ini bermakna orang tidak boleh balik kampung beraya tahun ini. Kesian juga pada kawan2 seperti amal, shahrul, shahul yang semuanya di luar Lembah Klang. 

PKPB membolehkan ekonomi dibuka kembali perlahan2, dengan bersyarat. Contohnya semalam aku pergi ke ampang point untuk ke Guardian beli vitamin c ayah. Diluar sahaja sudah kulihat panjang barisan orang beratur.  Aku pada mulanya keliru, mungkin barisan untuk masuk ke Giant yang dihadkan orang sekali masuk. Rupanya lambat disebabkan sekarang bisnes perlu mengambil maklumat nama, ic dan no telefon untuk setiap pengunjung. Juga menjadi dua lapis kerana masuk ke guardian, guardian juga mengambil maklumat yang sama. Cuma Guardian lebih maju sedikit menggunakan kod QR. Sama juga seperti Habib Ampang petangnya aku pergi untuk ambil cincin mak yang Fatiha belikan. 

Mak ayah lepak rumah aku dari hari Khamis. Ayah yang beria mahu tidur dan berbuka di rumah aku. Eka ikut sekali, dan bagusnya membawa Eka kerana tanpa disuruh dia mengemas dapur aku jadi bersih dan teratur.


Hari ini aku ingatkan mahu mak ayah tinggal lagi satu malam kerana esok masih cuti. Namun ayah mahu balik shah alam, sedangkan mak pula ok mahu stay. Tambahan ayah mahu melawat Abang Man, abang mak kerana Wak Eza meninggal semalam kerana komplikasi buah pinggang.

Hari ini juga hari ibu. Mungkin sempena itu Fatiha belikan cincin emas itu. Aku mungkin seperti biasa akan belikan beg tangan. Tunggu harijadi mak sahaja lah. 



Wednesday, May 06, 2020

Hari ke 50 PKP (atau hari ke 3 PKPB)

Khairul memberikan wake up call pukul 5.33 pagi untuk sahur. Aku terjaga, berkata ok dan sambung tidur selepas end call. Aku terjaga balik pukul 8 pagi, sedikit cemas kerana teringat ada online discussion dgn Suhaileen tentang GAIA DELFI. Tidur balik dengan snooze sela 5 minit untuk dua kali sebelum aku betul2 bangun dan mandi. 
Usai perbincangan GAIA DELFI yang mana aku hanya jadi pendengar, aku sambung dengan mesyuarat Jabatan APAC Basin. Kali ini ada 4 orang baru masuk dengan seorang adalah fresh grad, iaitu Lisa Kamal yang video commencement di Wisconsin Viral seketika. Tak sangka pula masuk ke department aku. Mungkin management mahu dia masuk basin, dan tentulah APAC/MALAYSIA tempat sesuai untuk latihan. Mesyuarat kali ini aku tolong menyampaikan update Africa Basin yang mujur dengan bantuan Maloque dapat aku segala maklumat tanpa perlu bertanya setiap team dalam Africa Basin.
Aku nap sebentar dari pukul 12.30 sampai pukul 2.30 (ye, sekejap). Antara nikmat WFH adalah boleh nap dengan selesanya di atas katil, dengan masa yang anjal. Kalau di pejabat memang aku takkan boleh tidur.
Petangnya pukul 3 ada perbincangan sequence strat sampai pukul 5.30. Selepas mengemas, aku bergerak ke Shah Alam. Hari ini ada Mee Hailam, juga lauk hati pedal sambal, dan masak lemak pucuk ubi. Eka juga membuat pau kelapa yang sedap.
Malam aku tidur dalam bilik mak ayah di bawah. 

Monday, May 04, 2020

Hari ke 48 PKP (atau hari pertama PKPB)

Pukul 3 pagi ayah kejutkan aku, menyuruh aku tidur di dalam bilik manakala ayah tidur di luar. Katanya mak asyik memanggil-manggil namaku. Apabila aku masuk ke bilik, rupanya mak mahu keb bilik air untuk buang air kecil. Usai mengurus mak, aku kata pada ayah untuk tidur sahaja di bilik kerana aku akan tidur di lantai. Ambil masa sedikit untuk tidur kerana lampu yang terbuka.

4 Mei adalah permulaan hari PKP bersyarat, dimana kerajaan melonggarkan PKP untuk membuka semula ekonomi. Pejabat mula dibuka, pusat beli belah beroperasi, orang boleh mula makan di restoran dan pelbagai lagi sektor2 industri yang dibuka. Pejabat aku masih meneruskan kerja dari rumah hingga 12 Mei, hari PKP fasa 4 sepatutnya berakhir.

Pagi pukul 8.30 aku bawa ayah ke Klinik di Seksyen 18 untuk cuci luka. Syarat di klinik adalah hanya pesakit boleh masuk dalam premis klinik maka aku menunggu sahaja diluar hingga ayah selesai. Dalam pukul 9 aku bergerak ke Ampang dengan destinasi menuju Bengkel servis kereta di Pandan. Kereta aku sudah lepas waktu patut servis, selain ada bunyi bising di enjin yang perlu diperiksa. Aku pulang ke rumah dengan Grab, sambil berborak2 tentang keadaan ekonomi dengan pemandu. Katanya sepanjang PKP ini memang kurang hampir 80% pelanggan. Pemandu Grab diberi pilihan untuk melakukan GrabFood dan GrabExpress. Walaupun memang tidak sebanyak pendapatan sebelum PKP, namun itulah saja yang mampu dilakukan. Hari ini sekatan jalan raya banyak yang sudah tidak ada, walaupun yang didepan Tiara Ampang masih ada.

Aku faham keperluan untuk membuka ekonomi dan tidak membiarkan PKP berlarutan. Ramai sudah dibuang kerja. Menakutkan sebenarnya jika mahu difikir kesan Covid-19 pada dunia. Inilah Great Depression mungkin untuk generasi aku. Tentulah apabila PKP dilonggarkan, risiko jangkitan Covid-19 juga bertambah. Vaksin masih tiada, maka selagi tiada vaksin selagi itulah virus ini akan berleluasa. Penjarakan sosial dan kebersihan diri adalah dua perkara yang maha penting untuk masyarakat patuhi. Norma baru tentulah menyedihkan, tapi itulah yang perlu dilakukan untuk melindungi nyawa manusia.

Aku pulang ke rumah yang kosong. Khairul sudah pulang ke Balakong Sabtu lepas membawa sekali monitor. Kemungkinan aku hanya akan berjumpa dengan dia kembali selepas raya. Rasa pelik rumah ini tanpa dia. Aku sudah terbiasa dengan gelak spontannya, kerajinannya membuat kuih dan mencuba resepi baru, keadaan dapur yang bersepah selepas dia selesai masak, juga fokusnya pada pelaburan.

Saturday, May 02, 2020

Hari ke 46 PKP

Kami tidur lewat dalam pukul 1 pagi malam tadi, setelah menonton episod 14 Crash Landing on You. Paginya aku menyediakan sahur ayam goreng rempah korea, lebihan makanan buka. Setelah subuh kami sambung melihat 2 episod terakhir, tak sabar untuk mengetahui penghujung kisah Captain Ri dan Se Ri. Sayu juga kerana sepanjang 46 hari bersama, hari ini Kairul pulang ke Balakong. Aku faham kerana tidak sedap pula tidak pulang rumah ibubapa di bulan puasa ini. Aku ok sebab kerap ulang alik, namun dia tidak pernah tidur dimana2. 46 hari, hanya dia dan aku.
Nietzsche pernah menulis tentang 'demon' yang menyumpah manusia akan melalui semula kehidupannya berkali kali lagi selepas mati, merasai setiap rasa sedih gembira, sakit nikmat, setiap fikiran juga impian, semuanya sama. Mahukah kita menjalani kehidupan kita yang sama ini? Dalam CLOY ada satu babak Se Ri bermimpi sewaktu dia kritikal selepas ditembak. Dalam mimpinya, sebelum dia terjun untuk paragliding, dia mendapat "premonition" untuk semua perkara yang akan berlaku. Segala kesusahan, kesedihan, juga bahagia. Dalam mimpinya dia memilih untuk terjun walaupun tahu apa yang bakal terjadi. Kerana dengan terjun itu dia dapat mengenali Captain Ri.
Sebelum ini aku fikirkan Nietzsche mahu berkata jika kita hidup tidak bahagia, rasa kosong atau hidup tiada kepuasan, maka kita harus meneliti semula bagaimana kita hidup kerana kita sendiri tidak mahu melalui perkara yang sama kita telah lalui. Namun setelah menonton CLOY, aku fikir bahawa hidup takkan pernah sempurna untuk kita mahu ulang semula setiap detik kehidupan. Hidup tidaklah sempurna, pasti akan ada saat2 yang tidak menyenangkan, juga impian2 yang tidak kesampaian. Tapi jika kita dapat merasai kebahagiaan itu walaupun untuk sekejap, maka berbaloilah untuk perasaan bahagia itu diulangi, tambahan bersama2 dengan orang2 yang kita sayang. 

Monday, April 27, 2020

Hari ke 42 PKP

Sudah masuk hari keempat puasa, pertama kalinya bulan puasa yang tiada kemeriahan sosial. Tiada terawih berjemaah dimasjid, tiada moreh, tiada majlis buka puasa sama beramai2, tiada buffet ramadan, tiada bazar ramadan, tiada semua. Kelainan yangbagi aku agak menyedihkan tetapi semua orang faham akan keperluannya.

Aku berbuka puasa hari pertama dan kedua di Ampang bersama Kairul. Hari pertama puasa, Jumaat 24 April, aku pergi melawat ayah di Hospital Serdang. Hari sebelumnya Ayah menjangkakan boleh keluar dari hospital kerana melihat luka yang kering setelah vacuum dressing dibuka. Namun setelah doktor melihat luka itu, masih terdapat nanah. Jadi ayah sambung mengenakan vacuum dressing untuk seminggu lagi. Jaga awalnya tidak membenarkan aku naik kerana alasan aku hanya mahu menghantar makanan, yang sememangnya tidak boleh kalau mengikut protokol hospital sewaktu PKP ini. Tapi setelah menelefon ayah, ayah memberitahu jururawat dan jururawat meminta untuk memberitahu jaga yang aku boleh naik. Jaga menelefon wad 6F dan jururawat membenarkan. Yang penting, jururawat perlu beri kebenaran. Aku membawa barang2 makanan untuk ayah, termasuk bihun goreng yang aku masak sendiri. Sedikit pahit kerana tergoreng lama bawang. Ayah ok, terima hakikat tidak dapat berpuasa awal2 ini di rumah. Bagi aku memang ayah perlu duduk di hospital hingga luka itu benar2 sembuh. tak sanggup untuk melihat ayah sakit lagi kerana jangkitan luka itu. Aku duduk hingga pukul 4.30 petang sebelum ayh menyuruh pulang, suruh menolong Kairul masak buka.

Menu hari pertama adalah padkrapow dengan kentang bilis sambal goreng. Air istimewa tembikai laici. Hari kedua pula sambal ikan kerisi dengan sayur campur. Sabtu malam itu setelah berbuka, kami melihat sekejap Crash Landing on You sebelum aku bergerak balik ke Shah Alam. Mak sudah asyik berkata mahu buka ayam percik, setelah aku kongsi masakan percik kembung minggu lepas. Tapi semasa berbuka sedikit sahaja mak rasa percik, x sedap seperti yang mak bayangkan.

Friday, April 24, 2020

Hari ke 38 PKP

Sudah masuk hari ke 38, setelah malam tadi PM membuat ucapan menyambut ramadan dan juga menyatakan PKP akan ditambah lahi 2 minggu hingga 12 Mei. Hari ini pertama Ramadan, aku tetapkan penggera pukul 4.45 pagi. Sewaktu berbunyi aku terus tutup dan tidak terfikir langsung tentang puasa. Ada sedikit mimpi menjengah yang aku sudah lupa tentang apa. Pukul 5.15 aku terjaga terus teringat untuk menyiapkan sahur. Setelah mengejutkan Kairul, aku siap ke dapur. Ikan bilis goreng dengan bawang dan cili, telur mata kerbau dan nasi. Ringkas, seperti yang biasa ayah sediakan dahulu.
Ayah masih di hospital. Semalam doktor memeriksa luka dan mendapati masih ada nanah lagi. Jadi disambung lagi seminggu setelah 2 minggu di hospital. Ayah dah teruja kelmarin setelah vacuum dressing dibuka, nampak kering luka dan doktor beri harapan boleh keluar sebelum puasa. 

Tuesday, April 21, 2020

Hari Ke 35 PKP

Semalam adalah harijadi ku yang ke 35. Pagi itu mak bangun pukul 6.30 pagi. Selesai mandi kami duduk di luar memberi makan burung sambil menikmati cahaya matahari pagi. Awalnya mak mahu Eka masak cekodok udang untuk sarapan, tapi Cik Nor datang membawa punten makan kami sarapan itu sahaja. Sementara borak dengan Cik Nor muncul pula isteri Wak Sur, orang indonesia juga, Jadi rancak la mereka berborak dalam jawa.


Aku gerak pulang ke Ampang pukul 9.15 pagi, mengejar workshop malaysian sweep yang sudahpun bermula pukul 9 pagi. Workshop kali ini adalah untuk mencari input hasil dari mesyuarat minggu lepas yang tidak selari dengan kehendak Emi. Aku layankan saja walau asalnya aku tidak mahu ikut serta kerana tidak ada nama aku disitu.

Tengah hari Kairul masak ayam butter dan sayur kangkung. Nampak di dapur dia sudah menyiapkan kek coklat, ada 3 biji. Coklat ganache dia kata akan buat petang nanti. Selepas itu Wark whatsapp menanyakan alamat rumah. Rupanya dia memesan grab express untukku, latte dan kek lobak dari Coffee Bean.


Aku terus membuat video call dengan group unhealthy eating. Saja buat meriah sambil bertanya khabar mereka. Ecot petang itu menghadiahkan poko apple mint, yang diserahkan ditepi Ampang Sports Planet. Wangi pokoknya, tak sabar aku mahu letak di minuman nanti.

Apple Mint

Pukul 6.30 aku video conference dengan budak2 G28. Semua ada kecuali Mush. Aku yang mengusulkan pada Muiz untuk buat video conference sambut harijadi aku ini, haha. Bukan selalu ada PKP ini maka boleh jadi kenangan menyambutnya secara maya bersama mereka.


Malamnya Kairul sambut dengan membuat kek coklat yang sangat mewah dan lazat, juga steak yang sudah lama aku tak makan.


Sewaktu sekolah dahulu aku pernah membayangkan bagaimana aku agaknya pada tahun 2020. Aku akan berusia 35 tahun, umur yang kebiasannya sudah berkahwin, mungkin ada anak satu atau dua, ada kerjaya, rumah juga kereta. Aku tidaklah membayang secara spesifik jenis rumah atau kereta mahupun rupa teman hidup.Ttetapi kini pada umur 35 tahun sebenarnya banyak yang harus aku berterima kasih. perjalanan hidup yang lancar, penuh sokongan dan kasih sayang. Aku tidak mengharapkan yang besar2, cukuplah agar kemanusiaan terus merahmati satu sama lain, juga saling melimpahkan kasih sayang antara kita semua. 

Cuma jika mahu dilihat pada yang tidak disangka, tentulah keadaan Perintah Kawalan Pergerakan yang berlaku sekarang kerana Covid 19 yang juga mengganggu satu dunia. Sudah 35 hari dalam PKP. Keadaan mak yang semakin uzur juga membuatkan aku gusar. Ayah kini makin ok aku selepas minggu lepas yang kelihatan sangat sakit kerana jangkitan pada luka bypass.

Sunday, April 19, 2020

Hari ke 33 PKP

Mak terjaga pukul 2 pagi, kemudiannya 4 pagi bertanyakan sudah boleh mandi atau tidak. Kemudiannya tertidur semula dan bangun pukul 7.30 pagi. Mak mengalami gatal2 satu badan, yang aku rasa disebabkan kulit kering lantaran air yang selama ini bertakung dalam badan dapat dikeluarkan melalui proses tebuk di perutnya sewaktu di hospital baru2 ini. Kami menyapu losyen pelembap, juga ubat sapu calamine. Tapi nampaklah mak kurang selesa dengan gatal2 itu. Digarunya sampai ada bahagian yang luka dan melecet. Melihatnya membuatkan aku kasihan, apatah lagi diri mak yang merasakannya.

Aku keluar membeli sarapan di Nasi Lemak Pak Ayob Seksyen 20. Ada dua barisan nasi lemak dan satu barisan roti canai. Aku beratur di barisan nasi lemak yang dihadapanku ada 8 orang. Semua berdisiplin dan penuh sabar menunggu giliran. 6 nasi lemak bungkus aku beli dengan 2 lauk, daging rendang dan sambal sotong. Tengah hari kami makan lemak ikan pelaling, juga daun betik yang direbus. Pahit rasanya.

Petang itu setelah makan cekodok udang, mak mengajak berjalan2. Setelah aku periksa tiada roadblock ke Padang Jawa di Google Map, maka aku pun membawa mak ke sana. Seperti biasa ritual, dari Seksyen 17 lalu jalan dalam dan singgah di kedai runcit India membeli gandum makanan burung. Kemudian kami singgah di kedai jahi Cik Pah, saja singgah untuk gembirakan hati mak sikit jumpa kawannya, walaupun tahu baju ditempah belum siap lagi. Selepas itu kami lalu di depan padang lembu. Tiada lembu lembu hari ini. Mungkin kerana PKP.

Mak nampak tidak selesa dan diam. Aku syak kerana punggungnya sakit kerana luka melecet. Hujung perjalanan aku menerawang berfikir kemungkinan jika mak tiada nanti. Alangkah sedihnya.
Malam ni malam terakhir berumur 34 tahun. Hari lahir, sejak beberapa tahun yang lepas sudah kuputuskan hari untuk aku luangkan masa dengan mak. Hari lahir sepatutnya hari ibu untuk sebab yang terang2 nyata. 34 tahun lepas dia bersusah payah melahirkan aku, dan kemudiannya membesarkan aku dengan kasih sayang. Walaupun kini aku cuba membahagikan masa untuk diriku sendiri, tapi aku tahu dia juga perlu masa untuk aku bersama dengannya. Aku harap mak faham. 
Pukul 12 malam menganjak ke 20 April, mak mengajak ke bilik air, nak kencing katanya. Walaupun kedengaran untuk aku buat berasa "feel good", tapi memang aku tidak ralat meluangkan malam ini bersama mak.

Saturday, April 18, 2020

Hari ke 32 PKP

Lewat bangun hari ini, pukul 11 pagi baru turun dari katil dan bergegas menyediakan mee goreng. Mungkin kerana lewat tidur juga malam tadi, pukul 1.30 pagi kerana melayan God Of War 4, setelah menyiapkan kek batik dan burnt cheesecake. Kek batik ok seperti pertama kali dahulu, burnt cheesecake pula agak kuat rasa telur, selain tekstur yang sedikit lembik tak seperti cheesecake premium yang dimakan dihotel2. Mungkin jenis cream cheese yang dibeli.


Sebelum menyediakan mee goreng, aku membersihkan dahulu dapur masak dan ruangan sinki. Ada sedikit rasa marah kerana Kairul membiarkan dapur kotor tanpa dikemas. Mungkin aku perlukan komunikasi berkesan dengannya hal2 berkaitan penyelenggaraan rumah ini.

Selesai makan mee goreng, kami sambung tidur hingga pukul 4 petang. Tak pernah aku tidur lama seperti ini sepanjang PKP. Sajalah sekali sekala melayan rasa tidur/malas ini.
Aku bersiap balik ke shah alam dan membawa balik kek batik, suku bulatan cheesecake dan 1kilogram dark coklat compound yang aku beli petang semalam. 3 kilogram terlalu banyak Kairul cakap, yang sememangnya betul. Aku tak tahu apa yang aku fikirkan tatkala membeli 2 kilogram dark coklat compound itu.

Sampai2 di Shah Alam ada laksa. Ngah masak kerana mak teringin. Sedap kuahnya yang menggunakan ikan kembung dan ikan sardin. Mak nampak ok sikit, walaupun masih tidak mampu berdiri sendiri, apatah lagi berjalan. Suaranya lebih jelas dan ceria juga nampaknya. Adik melawat ayah dihospital tengah harinya, menyatakan ayah ok, tidak sakit lagi di dada. 22 April ini mesin vakum itu akan dibuka  untuk melihat perkembangan luka ayah.


Wednesday, April 15, 2020

Hari ke 29 PKP

Pagi ini kami sarapan Benjo, telur mata yang kuningnya masih cair. Aku pagi ini malas-malas, perlahan menyediakan Geoseismic section untuk North East Lanka. Lagipun bahagian synrift masih menunggu kumpulan structural jumaat ini. Aku masih bertangguh untuk memulakan buku PGRM 2.0 yang sepatutnya draft pertama sudah kusiapkan sekarang. Tiada langsung "drive".

Pagi ini juga ngah melawat ayah, setelah semalam adik memberitahu yang jururawat menegur tentang kami yang kerap bergilir menunggu ayah di hospital. Jururawat menegaskan satu orang sahaja yang menunggu selama 2 hari 2 malam, sebelum diganti dengan orang lain. Aku faham sahaja hospital tentunya peka dengan pendedahan melampau orang keluar masuk hospital yang menambahkan risiko jangkitan Covid-19. Ayah juga malam tadi menghantar whatsapp agar tidak perlu lagi menemaninya dan berpesan jagalah mak sahaja di rumah. Pam vacuum ayah dibuka pagi ini, dibersihkan dan dipasang semula. Luka sudah lebih baik kata doktor, dan pam vacuum akan dibuka semula 22 April ini. Jadi lagi seminggulah ayah di hospital.

Tengah hari Kairul masak Pad Krapow. Seperti biasa sedap masakannya. Hujung minggu lalu dia sudah menyediakan senarai menu untuk dimasak setiap hari. Baguslah kerana tanpa senarai, pening juga mahu memikirkan makanan apa perlu di masak sepanjang PKP ini.

Teringat malam tadi kami menonton The Host, filem arahan Bong Joon Ho tahun 2006. Walaupun tidak sekemas Parasite, namun gaya dan identiti Bong Joon Ho menebal dalam filem ini. Kritikan pada sistem ekonomi dan kerajaan yang menekan golongan bawahan disampaikan bersahaja dan secara terus dalam The Host.

Petangnya aku bergerak pulang ke Seksyen 24. Malam ini aku temankan mak tidur setelah mak keluar dari hospital. Nampak berat badan mak berkurang. Satu kerana air di perut yang dibuang hampir 3 liter, dan mungkin juga kerana tiada selera makan di hospital. Percakapan mak kini jelas berbanding dulu, walaupun mak masih kurang bercakap. Masih tidak mampu bergerak sendiri, tidak tahulah fisio mampu menolong nanti 

Tuesday, April 14, 2020

Hari ke 28 PKP

14 April 2020, hari sepatutnya fasa ke 2 PKP berakhir namun seperti yang diumumkan jumaat lepas, PKP disambung untuk fasa ke 3, 2 minggu lagi.

Semalam aku bangun seawal 5.15 pagi menyediakan nasi impit, ayam semur dan sayur soon untuk mak di hospital. Doktor membenarkan mak makan apa2 diabmahu, mungkin kerana melihat mak memang tak ada selera makan makanan hospital. Laluan mrr2 kesas seperti biasa tiada roadblock, malah sampai ke Hospital Shah Alam tiada kerana aku lalu jalan dalam  makanan aku beri pada Eka, malas mahu mencuba naik kerana menghormati kerja pengawal keselamatan. Lagipun risiko jangkitan covid 19 itu ada benarnya. Kalau tak takkanlah hospital membatalkan waktu lawatan sepanjang PKP ini. Ada baki makanan aku tinggalkan di rumah 24. Perjalanan pulang aku singgah isi minyak di Petronas Ron 97 sekarang sudah 1.50 seliter. Murah namun menakutkan untuk aku yang bekerja dalam sektor O&G. Harapnya perang harga antara Saudi dan Russia cepat2 ia berakhir. Sudahlah permintaan minyak menjunam hingga ke 25 USD per barrel keran ekonomi yang tidak bergerak satu dunia, satu dunia yang lockdown. Habis isi minyak aku masuk ke kedai Mesra untuk ATM dan suratkhabar ayah nanti. Di pintu masuk ada hand sanitizer disediakan. Selepas itu aku singgah Shell kerana teringin pula kopi Costa. hazelnut latte kupilih. Di shell siap ada petugas menjaga pintu yang akan membuka pintu, mengambil suhu dan mengingatkan untuk mengenalan hand sanitizer.

Pulang ampang Kairul menyediakan kek pisang yang kami buat malam tadi, dengan siraman coklat panas  beryl, whipped cream dan sepotong pisang. Aku kemudian sambung kerja bersedia untuk meeting petang itu dengan Syazwan. Sepatutnya giliran aku masak tapi melihat aku sibuk, Kairul sukarela masak ikan goreng, tumis sawi dan sambal penyet. Eka whatsapp beritahu mak boleh discaj hati ini. baguslah, dah 10 hari mak di hospital. Ngah uruskan proses discaj mak. Aku terfikir perlukah aku balik esok petang kerana Ngah akan jaga ayah malam  atau biar sahaja Eka tidur dengan mak. Entahlah. Tengok la nanti macam mana.

Petangnya voice conference habis 4.30 petang, cepat2 aku bersiap kerana Long puasa hari ini lalu perlu balkk awal. Hari ini roadblock lancar kerana polis terus arah bergerak tanpa berhenti. Aku rasa kerana kalau ada seorang sahaja dalam kereta, sudah memadai. Kalau kelmarin, memang jem panjang ksrana proses bertanya mahu ke mana. Nasib baik mereka tak meminta surat atau bukti. Aku sampai hospital serdang 5.30 petang.

Gadis Di Tangga



Mak pernah menceritakan saat dia baru datang ke Padang Jawa. Waktu itu habis sekolah di Pahang Mak duduk di kampung. Kawan sekampung Ani Dollah terlebih dahulu sudah ke Padang Jawa bekerja di kilang.

Mak pergi ke stesen bas klang naik bas seorang diri dari kampung. sampai sahaja di stesen bas, mak menunggu lama, lebih dari satu jam katanya, untuk abang Ani Dollah mengambilnya kerana itu janji dengan Ani Dollah sebelum mak berangkat. Mak berkata dia hampir mahu membeli tiket balik ke kampung kerana takut lama sangat menunggu. Mujurlah abang Ani Dollah sampai dan membawa mak berjumpa kawan mak itu di Padang Jawa.

Rumah sewa mak bersama Ani Dollah di Padang Jawa adalah di lokasi yang kini berdekatan dengan Restoran Puti Bungsu. rumah papan ringkas dengan tangga kecil. Mak bekerja di Motorola Sungai Way, naik bas kilang ulang alik dari rumah.

Perkenalan dengan ayah adalah kerana rumah sewa ayah yang berdekatan dengan mak. lorong yang ayah lalu untuk balik ke rumah akan melalui rumah mak. asalnya bertegur sapa kala mak duduk di tangga rumah dan ayah pula baru pulang dari kerja. dari situ berputik cinta.

Mereka memilih untuk berkahwin pada 1978 dan berpindah ke rumah sewa yang besar sedikit di Padang Jawa. Lebih kedalam di Jalan Mat Raji.

Monday, April 06, 2020

Hari Ke 21 PKP

Aku mimpikan mak ayah malam tadi. aku memandu kereta membawa mak dan ayah ke rutin medical check up. Setelah drop mereka, aku pergi parking kereta. Kemudian aku menjumpai mak ayah dalam satu tempat seperti terowong dengan pintu besi, terowong seperti laluan longkang besar. Mereka sedang berborak tetapi dengan jarak yang lebih kurang 2 meter antara satu sama lain. aku bertanya mengapa ayah lepak di situ? aku membawak mak dengan kerusi roda untuk ke check up, aku ingat aku melaui tangga pendek (3 anak tangga) dua kali dengan laluan incline untuk kerusi roda laluan pertama ok, tetapi laluan kedua tidak ok sangat, seperti laluan kayu yang reput. mimpi aku terhenti di situ.


Thursday, April 02, 2020

Hari ke 16 PKP

Mak masuk hospital hari ini, kali kedua tahun ini selepas hujung Disember lepas. Semalam kami bawa mak dan ayah untuk ambil darah, dan mak dijadual follow up 6 April ini. Petang selepas ambil Hospital Shah Alam hubungi adik meminta mak dibawak ke kecemasan kerana bacaan hemoglobin rendah (6.5). Tengah hari tadi Ngah dan adik bawa mak ke hospital, aku pula putuskan untuk pergi lewat petang kerana mahu tunggu mak malam ini.

Aku sampai Hospital Shah Alam pukul 6.50 petang. Ada roadblock di jalan keluar lebuhraya persekutuan ke Hospital. Tiada soal banyak sewaktu aku cakap kagu ke hospital. Mak ok, sedang masuk darah. Ngah beritahu mak marah2 kerana dimasukkan ke Hospital Shah Alam, dia mahu masuk ke hospital swasta. Entahlah, aku senyap sahaja. Terus terang perkhidmatan disini tinggi kualiti. Cuma mungkin tiada privasi kerana wad campur. Lagipun memang garga di hospital swasta tidak masuk akal.


Tuesday, March 31, 2020

Hari ke 14 PKP

Pagi ini seperti biasa sudah terjaga pukul 6 pagi. Kairul terus solat subuh, kemudian melakukan yoga mungkin dan menyediakan sarapan. Makan omelette dengan roti yang Kairul buat sendiri tadi malam. Agak kompleks juga proses pembuatan roti. Selain sukatan yang betul, adunan harus dipikul sebati dengan cara knead. Juga masa menunggu bertambah kerana yis perlu kembang. Hasil roti kukira ok. Mungkin patut lebih kembang. Kairul nampak sedih tapi kukatakan biasalah kali pertama mencuba. Maka perlu cuba lagi.

Selepas sarapan aku menyiapkan slide untuk perbincangan petang tentang kerja seq strat East Lanka. Agak serabut kerana tidak dapat membuatnya di pejabat.

Semalam hari ke 13 PKP, setelah pulang dari Shah Alam pagi itu, aku tidak produktif akan membuat kerja. Risau tentang seq strat, aku putuskan pergi ke pejabat untuk mengambil kertas2. Kebetulan tengah hari aisyah danamal mengajak pergi ke cold storage. Lama tak bertemu agaknya. Mesti Amal terkesan benar dengan PKP ini.

Aku sampai di parking KLCC pukul 2.50 petang, awal dari waktu janji 3 petang bersama mereka. Hanya P1 dibuka, tentulah kerana tidak ada banyak kereta. Itupun mereka masih caj pemegang season pass dengan harga penuh. Aku lihat semua memakai topeng. Dihadapan Cold Storage aku terserempak dengan Fatiha. Dia mahu memulangkan laptop di ofis, alang2 membeli barang sekali di Cold Storage. Kukatakan padanya aku mahu membeli dark coklat untuk kek batik, selain mahu mengambil barang di pejabat.

Aisyah bergaya dengan baju jaket longgar biru putih. Amal pula serabai dengan jeans koyak dan t shirt. Aku agak berhati2 mahu berkomunikasi dengan mereka. Mungkin paranoid selepas ke Aeon Big Ampang jumaat lepas dimana polis marah dalam pasaraya jika ada orang yang terlalu dekat sesama sendiri. Mereka perlu patuhi penjarakkan sosial. Usai membeli barang aku naik ke pejabat. Di depan lif ada 3 orang lelaki sedang memasang selotap di dalam lif. Ada 4 kotak segiempat sama di lantai lif dengan tanda anak panah di setiap kotak menghala ke dinding. Sewaktu aku mahu balik, tiba2 ada seorang polis berjalan ke arahku sedang aku menuju ke tempat scan. Kami tersenyum sewaktu berselisih, namun belum sebelum sempat sampai ke tempat scan, dia tiba2 memanggil "Encik!" Dia bertanyakan apa ada dalam beg. Aku senyum sahaja menyatakan kerja dan buku2. Setelah puas memeriksa dia melepas lan aku. Begini mungkin rasanya menjadi pengintip. Haha.

Friday, March 27, 2020

Hari Ke 10 - PKP

Hari ini terjaga pukul 6 pagi. Seperti biasa penggera di telefon berbunyi nyaring mengejutkan aku dan Kairul dari tidur. Kairul bangun bergegas untuk solat subuh. Aku pula putuskan untuk sambung berehat setelah tidur agak lewat malam sebelumnya. Berehat sambil memikirkan situasi yang melanda satu dunia sekarang.

Sudah masuk hari yang kesepuluh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan bermula 18 Mac. Petronas Exploration pada 16 Mac telah memilih untuk mengambil pilihan Team A dan Team B yang akan bergilir-gilir seminggu setiap kumpulan untuk masuk ke pejabat. Aku di Team A namun aku meminta Naza mengalihkan aku ke Team B agar sama dengan Kairul. Senang mahu bergerak ke pejabat nanti. Tambah agak "beat the purpose jika tinggal serumah tapi berlainan waktu ke pejabat, tentulah akan mendedahkan risiko lebih kepada Covid 19.

Malam Isnin Kairul mengajak pergi membeli barang2 makanan, memandangkan kemungkinan ada lockdown yang akan mengganggu bekalan. Selepas maghrib kami naik kereta pergi ke Pasaraya Hero. Memang aku jangka akan ramai orang, tapi tak ku sangka ramainya sehingga pihak Hero mengawal kemasukan pelanggan. Adalah dalam 6 orang sedang beratur untuk masuk sambil ku intai kedalam memang penuh pasaraya itu. setelah menunggu 5 minit, barisan seperti tidak bergerak aku cadangkan kami pergi ke Aeon Big Ampang. Keadaan di Aeon Big juga agak penuh. Panic buying katakan tetapi memandangkan kawasan yang luas, masih ada ruang untuk pergerakan. Kami membeli barang2 yang dirasakan perlu, kebanyakannya barangan kering, juga barang2 untuk buat kek. Telur kami ambil dua papan, pertama kali aku beli telur ayam sebanyak itu. Keadaan terkawal, tidak ada suasana panas orang berebut membeli barang2. Cuma sewaktu membayar, barisan untuk ke kaunter bayaran menjulur sampai ke belakang ruang belakang. Tak ku sangka aku akan melalui perkara sebegini sepanjang hidupku.

Panjang barisan untuk bayar

Menjelang 17 Mac selepas pengumuman PKP oleh PM, Emi mengeluarkan emel menggesa semua kerja dari rumah, tidak kisahlah Team A atau Team B. Aku menyambut baik perkara itu. Walaubagaimanapun ada juga bos yang masih ingin mengekalkan susunan Team A dan Team B dengan alasan "kritikal". Entahlah, mungkin dia risau operasi kerja akan terganggu, atau mungkin memang tidak percaya pada staf untuk bekerja di rumah. Malamnya kami mencuba resepi kek Taiwan Castella (kek span Taiwan). Pertama kali baking, tapi tiada mixer. Hanya ada pemukul manual. Hasilnya ok, cuma kek tidak naik cantik. Mungkin lambat campur setelah dipukul kata Kairul menyebabkan udara2 dalam sebatian terkeluar dahulu. Rasanya masih sedap, seperti bingka pun ada rasanya.

18 Mac 2020. Hari pertama PKP sebenarnya terasa seperti hujung minggu kerana tidak perlu ke pejabat. Cuma bekerja di rumah memerlukan disiplin lebih lagi. Nasib baik memang ada satu monitor yang Kairul beli untuk aktiviti pelaburannya. Kami bergilir2 menggunakan monitor. tengah hari itu Kairul masak Spaghetti sardin. Malamnya aku pulang ke Shah alam kerana esoknya mak ada temujanji bertemu pakar hati di Hospital Selayang. Perjalanan pulang memang sengaja kupilih MRR2 Kesas kerana mahu elak roadblock. Memang kereta kurang, tapi perjalanan lancar. Harapnya sampai habis PKP tiadalah roadblock di MRR2 Kesas ini.

19 Mac 2020. Perjalanan ke Hospital Selayang lancar berbanding 9 haribulan lepas yang tersilap tarikh itu. Memang kereta sedikit. Keadaan di hospital juga tidak terlalu padat. Diantara kerusi menunggu diletakkan pelekat putih merah menandakan perlunya jarak antara individu. setiap yang mendaftar juga diwajibkan mengenakan hand sanitizer. setelah menunggu dalam 15 minit, nombor mak dipanggil. Doktor Haslina nama pakar yang kami temui. Baik orangnya, lemah lembut dan nampak prihatin. Doktor tidak membuat pemeriksaan rapi kerana keadaan mak yang sukar untuk bergerak tetapi berdasarkan perbualan, dia menyimpulkan hati mak memang sepatutnya buat transplant tapi ada dua syarat; umur 65 tahun ke bawah dan tidak obese. Mak tidak menepati syarat kerana obese dan kencing manis. Doktor memberikan ubat antiviral yang harga di pasaran adalah mahal. Pulang sahaja di Shah Alam dalam pukul 10.30, aku bersiap pulang ke Ampang. Tengah hari itu aku masak kicap tuna tumis kacang boto dan goreng tempe..



Rentas

 Hari ini Ismail Sabri umumkan bermula esok (Isnin) sudah boleh merentas negeri. Perkara pertama aku terfikir adalah untuk telefon Cikgu Dol...