Monday, May 04, 2020

Hari ke 48 PKP (atau hari pertama PKPB)

Pukul 3 pagi ayah kejutkan aku, menyuruh aku tidur di dalam bilik manakala ayah tidur di luar. Katanya mak asyik memanggil-manggil namaku. Apabila aku masuk ke bilik, rupanya mak mahu keb bilik air untuk buang air kecil. Usai mengurus mak, aku kata pada ayah untuk tidur sahaja di bilik kerana aku akan tidur di lantai. Ambil masa sedikit untuk tidur kerana lampu yang terbuka.

4 Mei adalah permulaan hari PKP bersyarat, dimana kerajaan melonggarkan PKP untuk membuka semula ekonomi. Pejabat mula dibuka, pusat beli belah beroperasi, orang boleh mula makan di restoran dan pelbagai lagi sektor2 industri yang dibuka. Pejabat aku masih meneruskan kerja dari rumah hingga 12 Mei, hari PKP fasa 4 sepatutnya berakhir.

Pagi pukul 8.30 aku bawa ayah ke Klinik di Seksyen 18 untuk cuci luka. Syarat di klinik adalah hanya pesakit boleh masuk dalam premis klinik maka aku menunggu sahaja diluar hingga ayah selesai. Dalam pukul 9 aku bergerak ke Ampang dengan destinasi menuju Bengkel servis kereta di Pandan. Kereta aku sudah lepas waktu patut servis, selain ada bunyi bising di enjin yang perlu diperiksa. Aku pulang ke rumah dengan Grab, sambil berborak2 tentang keadaan ekonomi dengan pemandu. Katanya sepanjang PKP ini memang kurang hampir 80% pelanggan. Pemandu Grab diberi pilihan untuk melakukan GrabFood dan GrabExpress. Walaupun memang tidak sebanyak pendapatan sebelum PKP, namun itulah saja yang mampu dilakukan. Hari ini sekatan jalan raya banyak yang sudah tidak ada, walaupun yang didepan Tiara Ampang masih ada.

Aku faham keperluan untuk membuka ekonomi dan tidak membiarkan PKP berlarutan. Ramai sudah dibuang kerja. Menakutkan sebenarnya jika mahu difikir kesan Covid-19 pada dunia. Inilah Great Depression mungkin untuk generasi aku. Tentulah apabila PKP dilonggarkan, risiko jangkitan Covid-19 juga bertambah. Vaksin masih tiada, maka selagi tiada vaksin selagi itulah virus ini akan berleluasa. Penjarakan sosial dan kebersihan diri adalah dua perkara yang maha penting untuk masyarakat patuhi. Norma baru tentulah menyedihkan, tapi itulah yang perlu dilakukan untuk melindungi nyawa manusia.

Aku pulang ke rumah yang kosong. Khairul sudah pulang ke Balakong Sabtu lepas membawa sekali monitor. Kemungkinan aku hanya akan berjumpa dengan dia kembali selepas raya. Rasa pelik rumah ini tanpa dia. Aku sudah terbiasa dengan gelak spontannya, kerajinannya membuat kuih dan mencuba resepi baru, keadaan dapur yang bersepah selepas dia selesai masak, juga fokusnya pada pelaburan.

No comments:

Rentas

 Hari ini Ismail Sabri umumkan bermula esok (Isnin) sudah boleh merentas negeri. Perkara pertama aku terfikir adalah untuk telefon Cikgu Dol...