Saturday, May 02, 2020

Hari ke 46 PKP

Kami tidur lewat dalam pukul 1 pagi malam tadi, setelah menonton episod 14 Crash Landing on You. Paginya aku menyediakan sahur ayam goreng rempah korea, lebihan makanan buka. Setelah subuh kami sambung melihat 2 episod terakhir, tak sabar untuk mengetahui penghujung kisah Captain Ri dan Se Ri. Sayu juga kerana sepanjang 46 hari bersama, hari ini Kairul pulang ke Balakong. Aku faham kerana tidak sedap pula tidak pulang rumah ibubapa di bulan puasa ini. Aku ok sebab kerap ulang alik, namun dia tidak pernah tidur dimana2. 46 hari, hanya dia dan aku.
Nietzsche pernah menulis tentang 'demon' yang menyumpah manusia akan melalui semula kehidupannya berkali kali lagi selepas mati, merasai setiap rasa sedih gembira, sakit nikmat, setiap fikiran juga impian, semuanya sama. Mahukah kita menjalani kehidupan kita yang sama ini? Dalam CLOY ada satu babak Se Ri bermimpi sewaktu dia kritikal selepas ditembak. Dalam mimpinya, sebelum dia terjun untuk paragliding, dia mendapat "premonition" untuk semua perkara yang akan berlaku. Segala kesusahan, kesedihan, juga bahagia. Dalam mimpinya dia memilih untuk terjun walaupun tahu apa yang bakal terjadi. Kerana dengan terjun itu dia dapat mengenali Captain Ri.
Sebelum ini aku fikirkan Nietzsche mahu berkata jika kita hidup tidak bahagia, rasa kosong atau hidup tiada kepuasan, maka kita harus meneliti semula bagaimana kita hidup kerana kita sendiri tidak mahu melalui perkara yang sama kita telah lalui. Namun setelah menonton CLOY, aku fikir bahawa hidup takkan pernah sempurna untuk kita mahu ulang semula setiap detik kehidupan. Hidup tidaklah sempurna, pasti akan ada saat2 yang tidak menyenangkan, juga impian2 yang tidak kesampaian. Tapi jika kita dapat merasai kebahagiaan itu walaupun untuk sekejap, maka berbaloilah untuk perasaan bahagia itu diulangi, tambahan bersama2 dengan orang2 yang kita sayang. 

No comments:

Rentas

 Hari ini Ismail Sabri umumkan bermula esok (Isnin) sudah boleh merentas negeri. Perkara pertama aku terfikir adalah untuk telefon Cikgu Dol...