Aku keluar membeli sarapan di Nasi Lemak Pak Ayob Seksyen 20. Ada dua barisan nasi lemak dan satu barisan roti canai. Aku beratur di barisan nasi lemak yang dihadapanku ada 8 orang. Semua berdisiplin dan penuh sabar menunggu giliran. 6 nasi lemak bungkus aku beli dengan 2 lauk, daging rendang dan sambal sotong. Tengah hari kami makan lemak ikan pelaling, juga daun betik yang direbus. Pahit rasanya.
Petang itu setelah makan cekodok udang, mak mengajak berjalan2. Setelah aku periksa tiada roadblock ke Padang Jawa di Google Map, maka aku pun membawa mak ke sana. Seperti biasa ritual, dari Seksyen 17 lalu jalan dalam dan singgah di kedai runcit India membeli gandum makanan burung. Kemudian kami singgah di kedai jahi Cik Pah, saja singgah untuk gembirakan hati mak sikit jumpa kawannya, walaupun tahu baju ditempah belum siap lagi. Selepas itu kami lalu di depan padang lembu. Tiada lembu lembu hari ini. Mungkin kerana PKP.
Mak nampak tidak selesa dan diam. Aku syak kerana punggungnya sakit kerana luka melecet. Hujung perjalanan aku menerawang berfikir kemungkinan jika mak tiada nanti. Alangkah sedihnya.
Malam ni malam terakhir berumur 34 tahun. Hari lahir, sejak beberapa tahun yang lepas sudah kuputuskan hari untuk aku luangkan masa dengan mak. Hari lahir sepatutnya hari ibu untuk sebab yang terang2 nyata. 34 tahun lepas dia bersusah payah melahirkan aku, dan kemudiannya membesarkan aku dengan kasih sayang. Walaupun kini aku cuba membahagikan masa untuk diriku sendiri, tapi aku tahu dia juga perlu masa untuk aku bersama dengannya. Aku harap mak faham.
Pukul 12 malam menganjak ke 20 April, mak mengajak ke bilik air, nak kencing katanya. Walaupun kedengaran untuk aku buat berasa "feel good", tapi memang aku tidak ralat meluangkan malam ini bersama mak.
No comments:
Post a Comment