Pagi ini juga ngah melawat ayah, setelah semalam adik memberitahu yang jururawat menegur tentang kami yang kerap bergilir menunggu ayah di hospital. Jururawat menegaskan satu orang sahaja yang menunggu selama 2 hari 2 malam, sebelum diganti dengan orang lain. Aku faham sahaja hospital tentunya peka dengan pendedahan melampau orang keluar masuk hospital yang menambahkan risiko jangkitan Covid-19. Ayah juga malam tadi menghantar whatsapp agar tidak perlu lagi menemaninya dan berpesan jagalah mak sahaja di rumah. Pam vacuum ayah dibuka pagi ini, dibersihkan dan dipasang semula. Luka sudah lebih baik kata doktor, dan pam vacuum akan dibuka semula 22 April ini. Jadi lagi seminggulah ayah di hospital.
Tengah hari Kairul masak Pad Krapow. Seperti biasa sedap masakannya. Hujung minggu lalu dia sudah menyediakan senarai menu untuk dimasak setiap hari. Baguslah kerana tanpa senarai, pening juga mahu memikirkan makanan apa perlu di masak sepanjang PKP ini.
Teringat malam tadi kami menonton The Host, filem arahan Bong Joon Ho tahun 2006. Walaupun tidak sekemas Parasite, namun gaya dan identiti Bong Joon Ho menebal dalam filem ini. Kritikan pada sistem ekonomi dan kerajaan yang menekan golongan bawahan disampaikan bersahaja dan secara terus dalam The Host.
Petangnya aku bergerak pulang ke Seksyen 24. Malam ini aku temankan mak tidur setelah mak keluar dari hospital. Nampak berat badan mak berkurang. Satu kerana air di perut yang dibuang hampir 3 liter, dan mungkin juga kerana tiada selera makan di hospital. Percakapan mak kini jelas berbanding dulu, walaupun mak masih kurang bercakap. Masih tidak mampu bergerak sendiri, tidak tahulah fisio mampu menolong nanti
No comments:
Post a Comment