PKP dan pandemik Covid 19 memberi kesan besar pada ekonomi negara, dan tentulah rakyat yang dibuang kerja merasa sangat terkesan.
Aku teringat sewaktu turun dari Base Camp di Annapurna, kami sepatutnya berjalan terus ke Perhentian Bamboo yang mungkin mengambil masa dalam 6 jam, tetapi kami terpaksa bermalam pada perhentian Deurali yang kurang satu jam jaraknya dari Base Camp kerana tanah runtuh yang memecahkan jambatan kecil penghubung Deurali ke perhentian Himalaya.
Dapat tidur di Deurali satu pengalaman menarik kerana punya lebih masa untuk berbual dan mengenal sesama kami. Tenang, sambil bermain kad dan gelak ketawa. Tetapi perjalanan esoknya memaksa kami berjalan hampir 12 jam ke Jhinu Danda untuk menjimatkan masa. Jika kami tidur di Bamboo, maka lagi jauhlah perjalan dari Bamboo ke Ghandruk, perhentian terakhir.
Aku ingat lagi mereka yang fit berada di hadapan dan sampai lebih awal. Namun ada kumpulan dibelakang seramai 4 orang termasuk aku yang lambat. Aku sengaja menjadi sweeper lantaran rasa bersalah kerana aku yang memberi kata putus untuk terus ke Jhinu Danda. Mereka yang dibelakang nampak berusaha keras, ada yang kerana kecedaraan mahupun tidak fit. Perjalanan perlahan dengan aku cuba untuk berbual sedikit untuk menceriakan suasana. Sampai sahaja di Jhinu Danda, ada yang terduduk menangis.
Susah payah hidup pasca PKP ini mungkin aku boleh kaitkan dengan pengalaman itu. Ada yang dapat melalui dengan senang, mungkin kerana cukup bersedia atau nasib yang baik, ada juga yang akan ketinggalan, terpaksa bersusah, atas pelbagai sebab. Aku juga tidak tahu akan nasibku dimasa hadapan. Harapnya semua baik2 sahaja.
No comments:
Post a Comment