Monday, April 27, 2020

Hari ke 42 PKP

Sudah masuk hari keempat puasa, pertama kalinya bulan puasa yang tiada kemeriahan sosial. Tiada terawih berjemaah dimasjid, tiada moreh, tiada majlis buka puasa sama beramai2, tiada buffet ramadan, tiada bazar ramadan, tiada semua. Kelainan yangbagi aku agak menyedihkan tetapi semua orang faham akan keperluannya.

Aku berbuka puasa hari pertama dan kedua di Ampang bersama Kairul. Hari pertama puasa, Jumaat 24 April, aku pergi melawat ayah di Hospital Serdang. Hari sebelumnya Ayah menjangkakan boleh keluar dari hospital kerana melihat luka yang kering setelah vacuum dressing dibuka. Namun setelah doktor melihat luka itu, masih terdapat nanah. Jadi ayah sambung mengenakan vacuum dressing untuk seminggu lagi. Jaga awalnya tidak membenarkan aku naik kerana alasan aku hanya mahu menghantar makanan, yang sememangnya tidak boleh kalau mengikut protokol hospital sewaktu PKP ini. Tapi setelah menelefon ayah, ayah memberitahu jururawat dan jururawat meminta untuk memberitahu jaga yang aku boleh naik. Jaga menelefon wad 6F dan jururawat membenarkan. Yang penting, jururawat perlu beri kebenaran. Aku membawa barang2 makanan untuk ayah, termasuk bihun goreng yang aku masak sendiri. Sedikit pahit kerana tergoreng lama bawang. Ayah ok, terima hakikat tidak dapat berpuasa awal2 ini di rumah. Bagi aku memang ayah perlu duduk di hospital hingga luka itu benar2 sembuh. tak sanggup untuk melihat ayah sakit lagi kerana jangkitan luka itu. Aku duduk hingga pukul 4.30 petang sebelum ayh menyuruh pulang, suruh menolong Kairul masak buka.

Menu hari pertama adalah padkrapow dengan kentang bilis sambal goreng. Air istimewa tembikai laici. Hari kedua pula sambal ikan kerisi dengan sayur campur. Sabtu malam itu setelah berbuka, kami melihat sekejap Crash Landing on You sebelum aku bergerak balik ke Shah Alam. Mak sudah asyik berkata mahu buka ayam percik, setelah aku kongsi masakan percik kembung minggu lepas. Tapi semasa berbuka sedikit sahaja mak rasa percik, x sedap seperti yang mak bayangkan.

Friday, April 24, 2020

Hari ke 38 PKP

Sudah masuk hari ke 38, setelah malam tadi PM membuat ucapan menyambut ramadan dan juga menyatakan PKP akan ditambah lahi 2 minggu hingga 12 Mei. Hari ini pertama Ramadan, aku tetapkan penggera pukul 4.45 pagi. Sewaktu berbunyi aku terus tutup dan tidak terfikir langsung tentang puasa. Ada sedikit mimpi menjengah yang aku sudah lupa tentang apa. Pukul 5.15 aku terjaga terus teringat untuk menyiapkan sahur. Setelah mengejutkan Kairul, aku siap ke dapur. Ikan bilis goreng dengan bawang dan cili, telur mata kerbau dan nasi. Ringkas, seperti yang biasa ayah sediakan dahulu.
Ayah masih di hospital. Semalam doktor memeriksa luka dan mendapati masih ada nanah lagi. Jadi disambung lagi seminggu setelah 2 minggu di hospital. Ayah dah teruja kelmarin setelah vacuum dressing dibuka, nampak kering luka dan doktor beri harapan boleh keluar sebelum puasa. 

Tuesday, April 21, 2020

Hari Ke 35 PKP

Semalam adalah harijadi ku yang ke 35. Pagi itu mak bangun pukul 6.30 pagi. Selesai mandi kami duduk di luar memberi makan burung sambil menikmati cahaya matahari pagi. Awalnya mak mahu Eka masak cekodok udang untuk sarapan, tapi Cik Nor datang membawa punten makan kami sarapan itu sahaja. Sementara borak dengan Cik Nor muncul pula isteri Wak Sur, orang indonesia juga, Jadi rancak la mereka berborak dalam jawa.


Aku gerak pulang ke Ampang pukul 9.15 pagi, mengejar workshop malaysian sweep yang sudahpun bermula pukul 9 pagi. Workshop kali ini adalah untuk mencari input hasil dari mesyuarat minggu lepas yang tidak selari dengan kehendak Emi. Aku layankan saja walau asalnya aku tidak mahu ikut serta kerana tidak ada nama aku disitu.

Tengah hari Kairul masak ayam butter dan sayur kangkung. Nampak di dapur dia sudah menyiapkan kek coklat, ada 3 biji. Coklat ganache dia kata akan buat petang nanti. Selepas itu Wark whatsapp menanyakan alamat rumah. Rupanya dia memesan grab express untukku, latte dan kek lobak dari Coffee Bean.


Aku terus membuat video call dengan group unhealthy eating. Saja buat meriah sambil bertanya khabar mereka. Ecot petang itu menghadiahkan poko apple mint, yang diserahkan ditepi Ampang Sports Planet. Wangi pokoknya, tak sabar aku mahu letak di minuman nanti.

Apple Mint

Pukul 6.30 aku video conference dengan budak2 G28. Semua ada kecuali Mush. Aku yang mengusulkan pada Muiz untuk buat video conference sambut harijadi aku ini, haha. Bukan selalu ada PKP ini maka boleh jadi kenangan menyambutnya secara maya bersama mereka.


Malamnya Kairul sambut dengan membuat kek coklat yang sangat mewah dan lazat, juga steak yang sudah lama aku tak makan.


Sewaktu sekolah dahulu aku pernah membayangkan bagaimana aku agaknya pada tahun 2020. Aku akan berusia 35 tahun, umur yang kebiasannya sudah berkahwin, mungkin ada anak satu atau dua, ada kerjaya, rumah juga kereta. Aku tidaklah membayang secara spesifik jenis rumah atau kereta mahupun rupa teman hidup.Ttetapi kini pada umur 35 tahun sebenarnya banyak yang harus aku berterima kasih. perjalanan hidup yang lancar, penuh sokongan dan kasih sayang. Aku tidak mengharapkan yang besar2, cukuplah agar kemanusiaan terus merahmati satu sama lain, juga saling melimpahkan kasih sayang antara kita semua. 

Cuma jika mahu dilihat pada yang tidak disangka, tentulah keadaan Perintah Kawalan Pergerakan yang berlaku sekarang kerana Covid 19 yang juga mengganggu satu dunia. Sudah 35 hari dalam PKP. Keadaan mak yang semakin uzur juga membuatkan aku gusar. Ayah kini makin ok aku selepas minggu lepas yang kelihatan sangat sakit kerana jangkitan pada luka bypass.

Sunday, April 19, 2020

Hari ke 33 PKP

Mak terjaga pukul 2 pagi, kemudiannya 4 pagi bertanyakan sudah boleh mandi atau tidak. Kemudiannya tertidur semula dan bangun pukul 7.30 pagi. Mak mengalami gatal2 satu badan, yang aku rasa disebabkan kulit kering lantaran air yang selama ini bertakung dalam badan dapat dikeluarkan melalui proses tebuk di perutnya sewaktu di hospital baru2 ini. Kami menyapu losyen pelembap, juga ubat sapu calamine. Tapi nampaklah mak kurang selesa dengan gatal2 itu. Digarunya sampai ada bahagian yang luka dan melecet. Melihatnya membuatkan aku kasihan, apatah lagi diri mak yang merasakannya.

Aku keluar membeli sarapan di Nasi Lemak Pak Ayob Seksyen 20. Ada dua barisan nasi lemak dan satu barisan roti canai. Aku beratur di barisan nasi lemak yang dihadapanku ada 8 orang. Semua berdisiplin dan penuh sabar menunggu giliran. 6 nasi lemak bungkus aku beli dengan 2 lauk, daging rendang dan sambal sotong. Tengah hari kami makan lemak ikan pelaling, juga daun betik yang direbus. Pahit rasanya.

Petang itu setelah makan cekodok udang, mak mengajak berjalan2. Setelah aku periksa tiada roadblock ke Padang Jawa di Google Map, maka aku pun membawa mak ke sana. Seperti biasa ritual, dari Seksyen 17 lalu jalan dalam dan singgah di kedai runcit India membeli gandum makanan burung. Kemudian kami singgah di kedai jahi Cik Pah, saja singgah untuk gembirakan hati mak sikit jumpa kawannya, walaupun tahu baju ditempah belum siap lagi. Selepas itu kami lalu di depan padang lembu. Tiada lembu lembu hari ini. Mungkin kerana PKP.

Mak nampak tidak selesa dan diam. Aku syak kerana punggungnya sakit kerana luka melecet. Hujung perjalanan aku menerawang berfikir kemungkinan jika mak tiada nanti. Alangkah sedihnya.
Malam ni malam terakhir berumur 34 tahun. Hari lahir, sejak beberapa tahun yang lepas sudah kuputuskan hari untuk aku luangkan masa dengan mak. Hari lahir sepatutnya hari ibu untuk sebab yang terang2 nyata. 34 tahun lepas dia bersusah payah melahirkan aku, dan kemudiannya membesarkan aku dengan kasih sayang. Walaupun kini aku cuba membahagikan masa untuk diriku sendiri, tapi aku tahu dia juga perlu masa untuk aku bersama dengannya. Aku harap mak faham. 
Pukul 12 malam menganjak ke 20 April, mak mengajak ke bilik air, nak kencing katanya. Walaupun kedengaran untuk aku buat berasa "feel good", tapi memang aku tidak ralat meluangkan malam ini bersama mak.

Saturday, April 18, 2020

Hari ke 32 PKP

Lewat bangun hari ini, pukul 11 pagi baru turun dari katil dan bergegas menyediakan mee goreng. Mungkin kerana lewat tidur juga malam tadi, pukul 1.30 pagi kerana melayan God Of War 4, setelah menyiapkan kek batik dan burnt cheesecake. Kek batik ok seperti pertama kali dahulu, burnt cheesecake pula agak kuat rasa telur, selain tekstur yang sedikit lembik tak seperti cheesecake premium yang dimakan dihotel2. Mungkin jenis cream cheese yang dibeli.


Sebelum menyediakan mee goreng, aku membersihkan dahulu dapur masak dan ruangan sinki. Ada sedikit rasa marah kerana Kairul membiarkan dapur kotor tanpa dikemas. Mungkin aku perlukan komunikasi berkesan dengannya hal2 berkaitan penyelenggaraan rumah ini.

Selesai makan mee goreng, kami sambung tidur hingga pukul 4 petang. Tak pernah aku tidur lama seperti ini sepanjang PKP. Sajalah sekali sekala melayan rasa tidur/malas ini.
Aku bersiap balik ke shah alam dan membawa balik kek batik, suku bulatan cheesecake dan 1kilogram dark coklat compound yang aku beli petang semalam. 3 kilogram terlalu banyak Kairul cakap, yang sememangnya betul. Aku tak tahu apa yang aku fikirkan tatkala membeli 2 kilogram dark coklat compound itu.

Sampai2 di Shah Alam ada laksa. Ngah masak kerana mak teringin. Sedap kuahnya yang menggunakan ikan kembung dan ikan sardin. Mak nampak ok sikit, walaupun masih tidak mampu berdiri sendiri, apatah lagi berjalan. Suaranya lebih jelas dan ceria juga nampaknya. Adik melawat ayah dihospital tengah harinya, menyatakan ayah ok, tidak sakit lagi di dada. 22 April ini mesin vakum itu akan dibuka  untuk melihat perkembangan luka ayah.


Wednesday, April 15, 2020

Hari ke 29 PKP

Pagi ini kami sarapan Benjo, telur mata yang kuningnya masih cair. Aku pagi ini malas-malas, perlahan menyediakan Geoseismic section untuk North East Lanka. Lagipun bahagian synrift masih menunggu kumpulan structural jumaat ini. Aku masih bertangguh untuk memulakan buku PGRM 2.0 yang sepatutnya draft pertama sudah kusiapkan sekarang. Tiada langsung "drive".

Pagi ini juga ngah melawat ayah, setelah semalam adik memberitahu yang jururawat menegur tentang kami yang kerap bergilir menunggu ayah di hospital. Jururawat menegaskan satu orang sahaja yang menunggu selama 2 hari 2 malam, sebelum diganti dengan orang lain. Aku faham sahaja hospital tentunya peka dengan pendedahan melampau orang keluar masuk hospital yang menambahkan risiko jangkitan Covid-19. Ayah juga malam tadi menghantar whatsapp agar tidak perlu lagi menemaninya dan berpesan jagalah mak sahaja di rumah. Pam vacuum ayah dibuka pagi ini, dibersihkan dan dipasang semula. Luka sudah lebih baik kata doktor, dan pam vacuum akan dibuka semula 22 April ini. Jadi lagi seminggulah ayah di hospital.

Tengah hari Kairul masak Pad Krapow. Seperti biasa sedap masakannya. Hujung minggu lalu dia sudah menyediakan senarai menu untuk dimasak setiap hari. Baguslah kerana tanpa senarai, pening juga mahu memikirkan makanan apa perlu di masak sepanjang PKP ini.

Teringat malam tadi kami menonton The Host, filem arahan Bong Joon Ho tahun 2006. Walaupun tidak sekemas Parasite, namun gaya dan identiti Bong Joon Ho menebal dalam filem ini. Kritikan pada sistem ekonomi dan kerajaan yang menekan golongan bawahan disampaikan bersahaja dan secara terus dalam The Host.

Petangnya aku bergerak pulang ke Seksyen 24. Malam ini aku temankan mak tidur setelah mak keluar dari hospital. Nampak berat badan mak berkurang. Satu kerana air di perut yang dibuang hampir 3 liter, dan mungkin juga kerana tiada selera makan di hospital. Percakapan mak kini jelas berbanding dulu, walaupun mak masih kurang bercakap. Masih tidak mampu bergerak sendiri, tidak tahulah fisio mampu menolong nanti 

Tuesday, April 14, 2020

Hari ke 28 PKP

14 April 2020, hari sepatutnya fasa ke 2 PKP berakhir namun seperti yang diumumkan jumaat lepas, PKP disambung untuk fasa ke 3, 2 minggu lagi.

Semalam aku bangun seawal 5.15 pagi menyediakan nasi impit, ayam semur dan sayur soon untuk mak di hospital. Doktor membenarkan mak makan apa2 diabmahu, mungkin kerana melihat mak memang tak ada selera makan makanan hospital. Laluan mrr2 kesas seperti biasa tiada roadblock, malah sampai ke Hospital Shah Alam tiada kerana aku lalu jalan dalam  makanan aku beri pada Eka, malas mahu mencuba naik kerana menghormati kerja pengawal keselamatan. Lagipun risiko jangkitan covid 19 itu ada benarnya. Kalau tak takkanlah hospital membatalkan waktu lawatan sepanjang PKP ini. Ada baki makanan aku tinggalkan di rumah 24. Perjalanan pulang aku singgah isi minyak di Petronas Ron 97 sekarang sudah 1.50 seliter. Murah namun menakutkan untuk aku yang bekerja dalam sektor O&G. Harapnya perang harga antara Saudi dan Russia cepat2 ia berakhir. Sudahlah permintaan minyak menjunam hingga ke 25 USD per barrel keran ekonomi yang tidak bergerak satu dunia, satu dunia yang lockdown. Habis isi minyak aku masuk ke kedai Mesra untuk ATM dan suratkhabar ayah nanti. Di pintu masuk ada hand sanitizer disediakan. Selepas itu aku singgah Shell kerana teringin pula kopi Costa. hazelnut latte kupilih. Di shell siap ada petugas menjaga pintu yang akan membuka pintu, mengambil suhu dan mengingatkan untuk mengenalan hand sanitizer.

Pulang ampang Kairul menyediakan kek pisang yang kami buat malam tadi, dengan siraman coklat panas  beryl, whipped cream dan sepotong pisang. Aku kemudian sambung kerja bersedia untuk meeting petang itu dengan Syazwan. Sepatutnya giliran aku masak tapi melihat aku sibuk, Kairul sukarela masak ikan goreng, tumis sawi dan sambal penyet. Eka whatsapp beritahu mak boleh discaj hati ini. baguslah, dah 10 hari mak di hospital. Ngah uruskan proses discaj mak. Aku terfikir perlukah aku balik esok petang kerana Ngah akan jaga ayah malam  atau biar sahaja Eka tidur dengan mak. Entahlah. Tengok la nanti macam mana.

Petangnya voice conference habis 4.30 petang, cepat2 aku bersiap kerana Long puasa hari ini lalu perlu balkk awal. Hari ini roadblock lancar kerana polis terus arah bergerak tanpa berhenti. Aku rasa kerana kalau ada seorang sahaja dalam kereta, sudah memadai. Kalau kelmarin, memang jem panjang ksrana proses bertanya mahu ke mana. Nasib baik mereka tak meminta surat atau bukti. Aku sampai hospital serdang 5.30 petang.

Gadis Di Tangga



Mak pernah menceritakan saat dia baru datang ke Padang Jawa. Waktu itu habis sekolah di Pahang Mak duduk di kampung. Kawan sekampung Ani Dollah terlebih dahulu sudah ke Padang Jawa bekerja di kilang.

Mak pergi ke stesen bas klang naik bas seorang diri dari kampung. sampai sahaja di stesen bas, mak menunggu lama, lebih dari satu jam katanya, untuk abang Ani Dollah mengambilnya kerana itu janji dengan Ani Dollah sebelum mak berangkat. Mak berkata dia hampir mahu membeli tiket balik ke kampung kerana takut lama sangat menunggu. Mujurlah abang Ani Dollah sampai dan membawa mak berjumpa kawan mak itu di Padang Jawa.

Rumah sewa mak bersama Ani Dollah di Padang Jawa adalah di lokasi yang kini berdekatan dengan Restoran Puti Bungsu. rumah papan ringkas dengan tangga kecil. Mak bekerja di Motorola Sungai Way, naik bas kilang ulang alik dari rumah.

Perkenalan dengan ayah adalah kerana rumah sewa ayah yang berdekatan dengan mak. lorong yang ayah lalu untuk balik ke rumah akan melalui rumah mak. asalnya bertegur sapa kala mak duduk di tangga rumah dan ayah pula baru pulang dari kerja. dari situ berputik cinta.

Mereka memilih untuk berkahwin pada 1978 dan berpindah ke rumah sewa yang besar sedikit di Padang Jawa. Lebih kedalam di Jalan Mat Raji.

Monday, April 06, 2020

Hari Ke 21 PKP

Aku mimpikan mak ayah malam tadi. aku memandu kereta membawa mak dan ayah ke rutin medical check up. Setelah drop mereka, aku pergi parking kereta. Kemudian aku menjumpai mak ayah dalam satu tempat seperti terowong dengan pintu besi, terowong seperti laluan longkang besar. Mereka sedang berborak tetapi dengan jarak yang lebih kurang 2 meter antara satu sama lain. aku bertanya mengapa ayah lepak di situ? aku membawak mak dengan kerusi roda untuk ke check up, aku ingat aku melaui tangga pendek (3 anak tangga) dua kali dengan laluan incline untuk kerusi roda laluan pertama ok, tetapi laluan kedua tidak ok sangat, seperti laluan kayu yang reput. mimpi aku terhenti di situ.


Thursday, April 02, 2020

Hari ke 16 PKP

Mak masuk hospital hari ini, kali kedua tahun ini selepas hujung Disember lepas. Semalam kami bawa mak dan ayah untuk ambil darah, dan mak dijadual follow up 6 April ini. Petang selepas ambil Hospital Shah Alam hubungi adik meminta mak dibawak ke kecemasan kerana bacaan hemoglobin rendah (6.5). Tengah hari tadi Ngah dan adik bawa mak ke hospital, aku pula putuskan untuk pergi lewat petang kerana mahu tunggu mak malam ini.

Aku sampai Hospital Shah Alam pukul 6.50 petang. Ada roadblock di jalan keluar lebuhraya persekutuan ke Hospital. Tiada soal banyak sewaktu aku cakap kagu ke hospital. Mak ok, sedang masuk darah. Ngah beritahu mak marah2 kerana dimasukkan ke Hospital Shah Alam, dia mahu masuk ke hospital swasta. Entahlah, aku senyap sahaja. Terus terang perkhidmatan disini tinggi kualiti. Cuma mungkin tiada privasi kerana wad campur. Lagipun memang garga di hospital swasta tidak masuk akal.


Rentas

 Hari ini Ismail Sabri umumkan bermula esok (Isnin) sudah boleh merentas negeri. Perkara pertama aku terfikir adalah untuk telefon Cikgu Dol...