Saturday, September 16, 2017

Yazd Hari 2

Aku terbangun pukul 6 pagi. Selepas menggeliat dan termenung atas tilam yang selesa, aku teringat yang aku ada akses terus ke atas bumbung untuk melihat matahari terbit. Bilik aku di tingkat dua, tetapi ditingkat dua ini juga ada ruang yang agak luas untuk orang lepak. Pagi Yazd adalah senyap, dengan cahaya matahari perlahan lahan naik melimpah ke atas bumbung bumbung lumpur bata menjadikan kawasan sekeliling atas bumbung itu seperti oren keemasan dengan saturation yang tinggi. Kota lama Yazd ini adalah tapak warisan UNESCO yang bagi aku memang selayaknya mendapat pengiktirafan itu. Dari atas bumbung itu aku dapat melihat menara dan kubah masjid Jamek Yazd, juga kubah kubah kecil rumah2 di sekitar Yazd. juga aku boleh nampak bentuk empat segi yanb agak tinggi yang digunakan untuk sistem peredaran angin 'windcatcher'. Puas melayan matahari terbit, aku terus ke restoran di tingkat 3 untuk sarapan. Masuk sahaja aku kedalam restoran aku terlihat seorang lelaki yang biasa dilihat. Yup, lelaki sabah semalam.


Namanya Jihenn. Dia berjalan solo selama sebulan. Selepas Iran dia akan ke Armenia, kemudian ke Georgia dan beberapa negara Balkan. Kami sarapan bersama sama sambil berbual tentang latar belakang masing masing. Untuk pagi itu, dia telah daftarkan diri untuk ikut tour bersama silk.road travel untuk ke Kharanaq, Chak Chak dan Meybod. Aku meminta dia untuk bertanya jika masih ada kosong untuk aku ikut dan nasib aku baik, masih ada kosong. 500k untuk bayaran tour itu.
Kami berkumpul di hotel road silk. Sejumlah 8 orang menyertai tour itu dengan menggunakan 2 kereta. Kereta pertama ada dua orang pasangan lelaki wanita dari Perancis, seorang lelaki pertengahan umur dari Jepun, Mr Ogawa dan seorang lelaki muda dari Itali, Lorenzo. Kereta kedua selain aku dan Jihenn , ada dua orang sahabat wanita, Jean dan Christine. Jihenn duduk di hadapan dan aku bersama Jean dan christine di belakang. Pemandu kami bernama Ali Akbar.
Sepanjang perjalanan banyak juga yang kami borakkan. Jean bekerja dalam bidang yang mempromosikan seni manakala Christine bekerja dalam bidang pameran. Christine yang berasal dari Lyon kini sedang mencari kerja baru selepas berhenti dari kerja sebelumnya . Mereka berdua bekerja di Brussels, Belgium. Antara perkara lain yang dibincangkan adalah tentang makanan Perancis. Aku lihat Christine lebih sopan dan the good girl berbanding Jean yang nampak lebih nakal dan kuat bercakap.

Perhentian pertama kami adalah Kharanaq. Sewaktu sampai disana, guide kami Lorain menerangkan Kharanaq ini terbahagi kepada dua, baru dan lama. Perkampungan Kharanaq lama ini telah didiami dari 4000 tahun dahulu, dengan binaan tinggalan sekarang berusia sekitar 1000 tahun. Para penduduk mula meninggalkan Kharanaq lama dan berpindah ke Kharanaq baru lantaran sumber air gunung yang berkurangan.

Bagi aku Kharanaq ini adalah syurga untuk jurukamera. Setiap lorong dan ruang sangat cantik untuk dijadikan subjek gambar. Dari atas kota itu boleh dilihat keseluruhan struktur bangunan yang diperbuat dari lumpur, air dan jerami. Dari jauh juga kelihatan aquaduct yang dekat dengan sebuah makam suci. Aku sempat bercerita dengan Lorenzo dan Jihenn tentang geologi apabila terlihat lapisan batuan claystone dan sandstone dengan bedding hampir 90 darjah.
Disekeliling kota itu dan sepanjang laluan ke aquaduct terdapat pokok-pokok buah dan bunga seperti pomegranate, bunga matahari dan sayuran yang aku tak pasti apa. Satu perkara menarik.jika diperhatikan, buah buah dipokok hanya dipetik dibahagian bawah dan buah di bahagian atas dibiarkan. Lorain menerangkan ini kerana buah dibahagian atas dikhususkan untuk binatang seperti burung makan. Sangat bagus.

Selesai melawat Kharanaq kami bergerak menuju Kuil Chak Chak. Pemandangan sepanjangan perjalanan begitu mengujakan, kawasan luas dengan berlatarkan gunung ganang. Kami berhenti dua kali untuk mengambil gambar. Kuil Chak Chak terletak di lereng gunung. Kuil.ini adalah antara tempat paling suci Zoroastrian dan setiap June, mereka akan melakukan pilgrimage ke sini. Menurut ceritanya, puteri raja parsi yang sedang melarikan diri dari serangan arab Muslim telah terkepung di kawasan pergunungan itu. Dia lantas berdoa kepada Ahura Mazda untuk diselamatkan. Mendengar doanya, gunung tiba tiba terbuka dan dia lari ke dalamnya. Tempat ini dinamakan Chak Chak yang bermaksud titis titis air kerana selepas mendapat mimpi, seorang pengembala pergi ke tempat ini dan mendapati ia memiliki sumber air yang menitis sedangkan sekeliling adalah kering kontang. Lantas sebuah kuil dibina  disini sempena puteri raja tersebut.


Untuk ke kawasan kuil, kami perlu mendaki tangga , tidak tinggi dalam 50 anak tangga. Di dalam kuil terdapat api yang dinyalakan dalam 3 bekas yang terletak di dinding gua. Di tengah tengah kuil terdapat 12 bekas yang melambangkan 12 bulan mengelilingi satu bekas di tengah yang berisi tanah (seperti kelopak bunga). Bekas ini tempat meletak colok. Para penganut Zoroastrian akan membakar colok sambil berdoa lalu meletakkan colok di bekas bekas ini. Aku terfikir tentang bagaimana Islam tersebar disini. Adakah banyak pertumpahan darah atau aman sahaja? Agama Zoroastrian yang sudah bertapak sekian lama lalu dimomokkan oleh orang Islam sebagai penyembah api, bagaimana mereka mendepani kedatangan Islam?

Perhentian terakhir kami adalah Meybod dimana kami dapat melihat rumah ais, caravanserai dan istana Narin. Rumah ais itu adalah tempat sebelum datangnya elektrik ais disimpan untuk kegunaan diluar musim sejuk. Lokasinya yang betul betul berhadapan caravanserai adalah untuk memudahkan ais dijual kepada pelawat pelawat disitu. Rumah itu bertindak sebagai sistem tertutup yang membolehkan ais kekal beku. Bahan makanan seperti daging dan buah juga diletakkan didalam rumah ais itu.

Caravanserai adalah tempat persinggahan para pedagang dan musafir. Yazd adalah sebahagian dari laluan sutera jadi memang ada banyak caravanserai di sini. Didalam bangunan ini terdapat rumah rehat, tempat mandi , kedai kedai jualan untuk para pedagang.



Jam sudah 3 petang sewaktu kami bergerak pulang ke hotel silk road untuk makan tengah hari. Kami dihidangkan dengan nasi arab? (Manis rasanya) dan makanan terung dicampur kacang seperti dal dan dimasak menjadi seperti kuah merah. Sedap. Mungkin juga kerana lapar. Sepanjang makan, kami berbual dan barulah aku tahu Lorenzo rupanya sudah hampir 3 bulan melakukan hitchhiked bermula dari Itali hinggalah ke Yazd. Berumur 25 tahun, dia memulakan hitchhiked ini setelah putus dengan teman wanitanya. Dia juga college dropout dalam bidang arkitek. Banyak pengalaman menarik yang dia ceritakan sepanjang dia mengembara. Destinasi terakhirnya adalah Australia. Aku berkata pada Jihenn kalau kita mahu perkara sama memang kena marah dengan keluarga. Tapi jauh disudut hati aku tahu aku tak berani. Keluarga, kerjaya semua itu hanya alasan. Sekurang-kurangnya Lorenzo buat apa yang buat dia bahagia. Tapi tentulah menuntut pengorbanan . Dia bercerita hubungan dia dengan ayahnya tidak baik. Kami sambung mencari aiskrim disebuah kafe di lorong masjid Jamek usai makan tengah hari. Mereka memilih untuk makan aiskrim , aku pula memesan teh safron. Rasanya menakjubkan. Boleh cuba lain kali. Lorenzo juga memberi aku cuba rokok tembakau yang dibelinya di Kurdistan. Ringan dan sedap. Mereka berjanji untuk lepak malam itu di art cafe. Aku didalam hati malas tetapi aku iyakan sahaja. Aku masih belum pusing sepenuhnya bandar Yazd ini.
Setelah balik hotel dan berehat sebentar, aku keluar balik pada pukul 6 petang menuju ke Amir Chakmagh. Semalam satu pasangan tua dari Australia yang aku jumpa sewaktu sarapan mencadangkan untuk pergi ke gym tradisional Iran di kawasan itu. Aku sampai dalam 6.20. Gym ini betul-betul sebelah medan itu tetapi agak tersorok kerana pintu masuknya dibelakang Medan. Bayaran masuk adalah 50k rial. Ruang didalam adalah bulat dengan kubah diatas mempunyai lubang  membolehkan cahaya masuk. Di tengah tengah  gelangang terdapat lubang bulat sedalam setengah meter. Disitulah tempat mereka melakukan aktiviti. Semua peralatan adalah tradisional jadi dumbel diganti dengan kayu seperti bat baseball cuma lebih gemuk. Sewaktu aku masuk mereka baru selesai jadi aku menunggu dalam 10 minit untuk sesi seterusnya. 


Terdapat seorang diatas mihrab yang bermain gendang sambil bernyanyi. Ritual gym ini kulihat dilakukan bersama jadi nampak meriah. Mereka bermula dengan tekan tubi tetapi menggunakan kayu sebagai pemeganh tangan. Gerakan mereka mengikut paluan gendang dan nyanyian. Selepas tekan tubi mereka warm down. Kemudian mereka menggunakan kayu dumbel. Selepas itu mereka satu persatu akan cuba untuk berpusing2 ditengah gelanggang. Akhir sekali mereka mengangkat alat besi mempunyai piring besi kecil yang banyak. Bergemerincing satu gym. Keseluruhan proses memakan masa 45 minit. Satu pengalaman yang baru untuk aku.









No comments:

Rentas

 Hari ini Ismail Sabri umumkan bermula esok (Isnin) sudah boleh merentas negeri. Perkara pertama aku terfikir adalah untuk telefon Cikgu Dol...