Friday, September 15, 2017

Yazd Hari 1

Di stesen bas Yazd, perkara pertama aku lakukan adalah mencari maklumat bas ke Kermanshah. Setelah bertanya tanya, ada seorang lelaki menolong aku dengan membawa ke satu kaunter bas yang agak tersorok. Di Yazd, hanya ada satu bas ke Kermanshah setiap hari pukul 3 petang. Lega aku. Aku kemudian pergi ke kaunter pertanyaan untuk pelancong. Sampai saja di situ aku seperti bau alkohol. Mungkin juga minuman malt. Tapi orang disitu tidak banyak membantu, dan rupanya kaunter itu aku rasa dibuka oleh agensi tour kerana orang yang sama aku jumpa keesokan harinya di pejabat agensi tour sebelah hotel aku menginap.
Tiket Bas
Aku sampai di hotel orient dengan menaiki prebet sapu. Di kaunter penjaganya seorang wanita muda, Mariam namanya. Aku telah tempah satu katil dorm berharga 10 euro. Setelah bertanya Mariam berapa harga bilik single, dia menjawab dia boleh beri aku untuk 25 euro. Setelah berfikir sejenak, aku putuskan untuk ambil sahaja bilik single. Senang untuk letak barang dan buat apa aku mahu. Setelah mendapatkan kunci , seorang wanita kulit putih datang untuk bertanya tentang peti ais simpan makanan. Mariam bertanya jika dia mahu ke Tower of Silence. Dia tidak mahu dan aku terus cakap aku mahu pergi. Rupanya ada seorang wanita yang sudah tempah teksi dan sedang cari orang lain untuk berkongsi tambang. Aku setuju dan aku perlu turun di courtyard pada pukul 6 petang.
Bilik aku di tingkat 2. Tingkat 3 adalah rooftop yang terletaknya restoran orient hotel. Bilik aku sederhana, dekat bilik air sendiri. Selesa. Dinding menggunakan jerami dan lumpur. Terasa laluan sutera sangat. Haha.
Courtyard Hotel Orient
Aku turun pukul 6 dan selepas 10 minit, muncul wanita Inggeris. Emma namanya, dari London. Kami menunggu selama 10 minit tapi teksi yang ditempah melalui hotel x kunjung tiba. Akhirnya aku mencadangkan kami keluar dari hotel dan cuba mencari teksi di luar. Keluar sahaja ada kereta sapu di hadapan. Dia menawarkan 250k, murah 100k dari teksi yang ditempah hotel. Terus sahaja kami naik. Perjalanan mengambil masa 15 minit itupun dengan pemandu kereta memandu laju dan sangat berbahaya. Aku ingatkan kerana dia mahu kami dapat mengejar matahari terbenam ni dakmah (Tower of Silence ) tapi tidak kerana perjalanan pulang juga gaya memandu yang sama. Kami sampai 6.40 petang, dan matahari akan terbenam pukul 7. Selepas membayar tiket 150k, kami masuk dan rupanya ada 2 dakmah. Kami memilih naik yang rendah sedikit. Sebenarnya agak mencabar juga. Adalah dalam 100 anak tangga mungkin.




Dakmah adalah kawasan pengebumian untuk Zoroastrian. Mereka percaya pada kesucian tanah, selain api air dan angin. Oleh kerana selepas mati roh meninggalkan badan, jasad yang tertinggal dianggap kotor maka tidak boleh bersentuhan dengan tanah. Dakmah adalah binaan berbentuk silinder dibina diatas bukit. Silinder ini terbuka diatasnya, dengan ruang kosong dan lubang setinggi 2 meter di tengah. Mayat akan diletakkan di dakmah untuk dibiarkan mereput dan dimakan oleh burung2 pembangkai. Upacara ini lama kelamaan tidak lagi dipraktikkan kerana pelbagai sebab. Akhirnya kerajaan Iran telah mengharamkan sepenuhnya upacara ini pada tahun 1970an.
Melihat matahari terbenam di atas dakhma adalah satu perasaan yang aneh. Bayangkan tempat itu menjadi tempat mayat mayat dimakan burung2 dan mereput. Kalau aku mahu terjemahkan, aku akan beri nama menara tak bersuara. Tentu sangat sunyi sepi tempat ini dahulu  selepas mayat ditinggalkan. Kami memanjat kedua2 dakhma yang terletak sebelah menyebelah. Sewaktu memanjat dakhma yang kedua, aku hadapi sedikit kesulitan untuk melangkah ditepi sempadan batu dipinggir bukit dakhma itu. Mujur ada seorang lelaki yang menolong aku dengan menyambut tangan aku dari atas. Aku bertanya dia dari mana. Dia kata Sabah. Aku tergelak dan memberitahu aku dari KL. Kami terus mengucapkan selamat kerana dia mahu turun dan aku mahu naik. Pukil 7.20 aku dan Emma mula turun dan pulang ke hotel. Emma esoknya akan meneruskan perjalanan ke Shiraz. Dia bergerak solo dari London. Bekerja di bidang pemasaran.

Malam itu aku teruskan dengan pergi ke Masjid Jamek. Aku hanya lihat diluar sahaja. Malas mahu masuk. Di laluan masuk.di belah kiri terdapat kedai buku. Aku lihat ada buku2 puisi Hafez dan Omar Khayyam. Rasa mahu beli tapi mungkin aku susah nak menghayati kerana terjemahan lama tahun abad ke 18. Pintu masuk masjid itu sendiri cantik.kerana Iwan nya diapit oleh dua menara. Aku baca menara ini adalah yang tertinggi untuk.menara masjid di Iran.


Selepas itu aku berjalan menghala ke Medan Amir Chakmagh. Medan ini terdapat masjid, caravanserai, telaga air dan tempat mandi. Aku pusing pusing mencari tempat makan. Aku perasan tidak banyak kedai makan di luar kecuali yang menjual falafel, kebab dan kedai aiskrim. Mungkin kerana mereka tidak suka makan diluar. Aku akhirnya membeli falafel di belakang Medan, kemudian apabila berjalan dilorong didalam Medan, aku jumpa tiga kedai kebab. Layanlah sekali lagi walaupun sudah makan falafel. Falafel adalah makanan seperti sandwich dengan roti panjang, didalamnya banyak sayur dan makanan seperti Papadom? goreng. Sedap dimakan panas dengan sos dan mayonis. Untuk restoran kebab, aku pilih joojeh kebab walaupun aku tidak tahu langsung apa itu. Mungkin sebab namanya mengingatkan aku pada jijue kebab yang aku makan sewaktu di Samarinda dulu. Bila datang rupanya ada kebab ayam dan daging, dimakan dengan roti leper dan potongan bawang. 110k jumlah bayarannya. Bila fikir balik agak mahal juga sebenarnya. Usai makan aku terus balik ke bilik hotel dan tidur. Sangat penat sebenarnya memandangkan sejak dari KL, tak dapat rehat yang cukup dengan perjalanan lebih dari satu hari.




No comments:

Rentas

 Hari ini Ismail Sabri umumkan bermula esok (Isnin) sudah boleh merentas negeri. Perkara pertama aku terfikir adalah untuk telefon Cikgu Dol...