8 tahun lepas, ketika Artin masih di Tehran mengambil jurusan kejuruteraan mekanikal, satu tragedi menimpa keluarganya. Ketika itu abang sulungnya, Samak sedang memandu pulang ke rumah dari pekan. Bersamanya ibu dan kakaknya. Perjalanan ke rumah memang banyak selekoh2 tajam kerana melalui lereng gunung serta lembah yang berpusing2. Mereka kecelakaan jalan raya. Kakaknya cedera di kaki, abangnya pula cedera parah dengan tulang belakang terganggu dan ibunya, meninggal. 2 tahun abangnya tidak boleh berjalan. Artin menjelaskan ayahnya membuat keputusan untuk pindah ke Paveh, mungkin untuk membina hidup baru. Terlalu banyak kenangan di kampung ini katanya.
Kini mereka akan pulang ke rumah ini sebulan sekali, membersihkannya sambil melawat saudara mara yang ramai disini.
Siang sebelum berangkat ke kampung Artin, Narvi, dia membawa kami berjalan2 satu pekan Paveh. Ada satu lokasi atas Bukit yang boleh melihat kawasan paveh sambil dikelilingi oleh banjaran gunung ganang. Dia juga membawa kepada kepada 2 tugu penyair terkenal Kurdistan, Molavi dan Mirza Abdul Qadie Paveh. Aku kagum dengan kecintaan mereka pada seni dan puisi sampai mendirikan tugu untuk kaum penyair. Di bawah tugu itu juga dipahat puisi mereka dalam Bahasa Aurami (Bahasa Kurdish). Artin juga membawa kami berjumpa sepupu sepapatnya.
Pulang balik ke kampung agak lewat, kerana Artin menyelia perkembangan rumah apartment yang sedang dibinanya. Kami bergerak pada pukul 6.15 petang ketika matahari sudah mula turun perlahan2. Ayah dan kakaknya turut ikut sekali. Sungguh aku rasa amat kerdil melihat sekeliling perjalanan melalui banjaran Zagros. Aku pernah berangan, namun melaluinya sendiri adalah pengalaman yang tak tergambarkan.
Kami ada berhenti untuk mengambil gambar Sungai Sirwa, juga tempat menternak ikan. Ada juga terowong dalam perjalanan yang Artin memberitahu dipahat menggunakan tangan, 100 tahun dahulu.
Kami sampai di kampungnya sejam setengah kemudian. Betul2 di tepi jalan kampung, Rumah yang sangat selesa, masih tipikal rumah Kurdistan. Masuk sahaja di pintu akan jumpa dahulu tandas dan bilik air. Kemudian akan ada pintu ke ruang besar Yang menggabungkan ruang tamu dan dapur. Ruang tamu dan dapur dipisahkan dengan countertop. Bilik ada satu dengan ruang balkoni yang luas dan tentunya berlatarkan gunung ganang. Rumahnya seperti biasa di lereng gunung. Artin sedang menambah ruang atas menjadi garaj.
Jiran sebelah rumah Artin menyediakan sarapan |
Rumah diatas jalan adalah rumah pakciknya. Mr Hassan dan Artin mengajak Kami pergi ke rumah pakciknya. Aku sangkakan cuma melawat sebagai tanda hormat. Rupanya mereka masyarakat Kurdistan memang suka lepak2 di balkoni di waktu malam. Karpet dibentang, bantal bantal diletak untuk bersandar. Air teh akan dihidang dengan cawan dan saucer, Yang akan diisi semula kali kedua Oleh kaum wanita yang duduk sebelah kaum lelaki. Habis teh kedua, buah buahan anggur, melon dihidang secara teratur sekali dengan pinggan, pisau dan garpu untuk setiap orang. Semuanya berlaku sambil bersembang2. Artin berkata mereka selalu akan lepak sampai 2 pagi.
No comments:
Post a Comment