Thursday, January 12, 2006

fragmen dari washington

fragmen 1
semalam mereka bicara lagi tentang diri,
diri yang mendamba, diri yang jahil, juga diri yang terus enggan.

seperti biasa mataku akan menangis, lidahku akan kelu, pendengaranku bagai dibelai, dan fikiranku menerawang untuk impian itu.
lalu aku kembali memikir adakah seperti selalu,
segala tangisan, kekeluan, belaian serta impian hanya tinggal untuk waktu itu?
lepas habis tinggal segala,
aku kembali menjadi, sesuatu yang bukan diriku?
yang bukan fitrahku? yang bukan kumahu?
fragmen 2
aku mahu lari dari kebisingan yang membosankan
aku mahu lari dari kesesakan yang menyakitkan
aku mahu lari dari kepuraan yang menjelikkan

aku mahu lari dari kegelapan yang menyesatkan
fragmen 3
habis sudah bicara untuk kutawarkan waktu,
hilang sudah rindu untuk kudambakan temu,
rosak sudah ceria untuk kulontarkan jemu.
fragmen 4
aku melewati sebuah tugu peringatan untuk mereka yang telah gugur,
yang gugur kerana sebuah bendera, kerana sebuah lagu, kerana sebuah kepercayaan.
mungkin aku tidak mendengar derak tangisan atau teriak,

tatkala peluru hidup merobek daging merah,
ataupun ketika bayonet tajam memenggal urat sendi,
mahupun sewaktu bom dibaling dengan penuh getar ditangan.
tapi apa yang kurasakan,
peperangan itu bukanlah apa yang mereka mahukan,
kerana manusia tidak pernah lahir untuk berbunuhan,
tidak pernah lahir dengan kebencian,
tidak pernah lahir dengan prasangka.
dan ketika aku terus memikir kenapa,
ku lihat nun besar ukiran di tepi tugu,
'dirasmikan oleh pemimpin negara'
tapi bukankah pemimpin itu juga manusia?
fragmen 5
aku malu pada setiap dosa yang kulakukan,
tapi mengapa aku tidak malu untuk mengulanginya?
aku rindu pada belaian kasihNya,
tapi mengapa aku tidak mendambakan rindu itu?
aku benci pada setiap kemungkaran disekelilingku,
tapi mengapa kebencian itu hanya tinggal benci?
aku lelah, resah penat dan lemah,
aku, seribu satu rasa penakut, pengecut barangkali, mungkin dayus.
tapi kutahu,
sayangMu, lebih besar dari murkaMu,
jika kuberjalan padaMu, maka berlari Kau padaku,

Kau cukup sempurna sifat Rahman, Rahim.
tunjukkanlah aku jalan kepadaMu,
dan janganlah Kau palingkan hati ini,
tatkala hidayah telah mengetuk tingkap hatiku

No comments:

Rentas

 Hari ini Ismail Sabri umumkan bermula esok (Isnin) sudah boleh merentas negeri. Perkara pertama aku terfikir adalah untuk telefon Cikgu Dol...