Monday, May 01, 2017

Hari Buruh Adalah Hari Untuk Para Buruh


"Ayah saya seorang buruh"
Jawapan biasa aku beri sewaktu sesi memperkenalkan diri di sekolah dahulu. Yang aku tahu, memang ayah menulis buruh di ruang pekerjaan pada mana mana borang rasmi yang perlu diisi.
Berhijrah dari Kampung Parit Baru Sabak Bernam, ayah bekerja sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang di Shah Alam. Sewaktu zaman kemelesetan pertengahan 1980 an, dia diberhentikan ekoran kilang menutup operasi. Selepas itu dia bekerja di Federal Power, anak syarikat PNB yang mengeluarkan kabel untuk TNB dan Telekom, juga sebagai operator pengeluaran. Antara perkara besar yang berlaku adalah sewaktu besi cair meletup dan terkena badan ayah. Dia ditahan di hospital untuk beberapa minggu, dengan parut di badan kekal sampai sekarang.
Hari buruh bagi aku adalah hari untuk meraikan golongan pekerja kolar biru, dengan kemahiran separa/tiada kemahiran. Mereka adalah golongan yang paling mudah dieksploitasi oleh para kapitalis. Sejak zaman revolusi industri sampailah sekarang, mereka memperjuangkan hak hak seperti bekerja 8 jam sehari, gaji minimum dan bermacam macam lagi. Perjuangan berdarah inilah yang seharusnya diingati pada hari ini.
Perjuangan kaum buruh masih jauh dari selesai. Pelaksanaan gaji minimum masih lagi tidak berlaku sepenuhnya, juga hak hak seperti perubatan masih boleh ditambah baik. Juga adalah menyedihkan melihat ketidakadilan layanan untuk pekerja yang berbeza gender, agama, bangsa mahupun kewarganegaraan.
Selamat Hari Buruh untuk para buruh yang tanpa mereka takkan wujud apa apa pun bangunan, takkan ada makanan dan minuman, takkan ada apapun kemudahan yang kita sedang nikmati.

No comments:

Rentas

 Hari ini Ismail Sabri umumkan bermula esok (Isnin) sudah boleh merentas negeri. Perkara pertama aku terfikir adalah untuk telefon Cikgu Dol...