Lagi seminggu lebih raya akan menjelma. Sabtu lepas Bibik Ika lari, bibik kedua lari selepas Bibik Yani. Kali ini tahan la sebulan lebih. Pada awalnya aku tenang memikirkan ada 4 bulan waranti dari ejen Fadilah. Tapi petang sabtu itu Ngah terima whatsapp dari seseorang yang duduk sekali dengan ejen Fadilah mengatatakan Bibik ada disana diambil oleh ejen. Perempuan itu dapat nombor Ngah setelah bibik meminta tolong dia untuk padam dan blok nombor2 kami adik beradik.
Kecewa. Aku dan Ngah pergi kerumah ejen itu pada pukul 5 petang mahu menuntut wang deposit kami. Dia menafikan tahu kemana bibik pergi, dan pada awalnya menawarkan untuk mengganti bibik. Ngah sudah tekad tidak mahu ganti bibik kerana tahu scam ini yang akan selalu bertukar bibik untuk mengaut untung deposit. Aku tak banyak bercakap, cuma sesekali menyatakan kami akan tunggu untuk mendapatkan duit kembali. Setelah banyak dolak dalih, ejen pun keluar mencari duit dari along dan jiran2, dia hanya dapat kumpulkan RM1000 sahaja. DIa berjanji untuk memberi baki pada hari Isnin. Memandangkan sudah pukul 8.30 malam, aku dan ngah putuskan ambil dahulu duit dan datang kembali Isnin nanti.
Ayah menegaskan jangan ambil lagi pembantu. Tapi bagaimana mak dan ayah di rumah terutamnya siang hari apabila tiada orang? aku ada menawarkan untuk tinggal dengan aku sementara tetapi ayah menolak. Aku faham memang tak biasa di rumah aku, lagipun tidak ada cucu cucu, tentu rindu.
Sekarang ini kami lihat dulu macam mana ayah boleh ke dengan mak berdua di rumah.