Wednesday, April 15, 2020

Hari ke 29 PKP

Pagi ini kami sarapan Benjo, telur mata yang kuningnya masih cair. Aku pagi ini malas-malas, perlahan menyediakan Geoseismic section untuk North East Lanka. Lagipun bahagian synrift masih menunggu kumpulan structural jumaat ini. Aku masih bertangguh untuk memulakan buku PGRM 2.0 yang sepatutnya draft pertama sudah kusiapkan sekarang. Tiada langsung "drive".

Pagi ini juga ngah melawat ayah, setelah semalam adik memberitahu yang jururawat menegur tentang kami yang kerap bergilir menunggu ayah di hospital. Jururawat menegaskan satu orang sahaja yang menunggu selama 2 hari 2 malam, sebelum diganti dengan orang lain. Aku faham sahaja hospital tentunya peka dengan pendedahan melampau orang keluar masuk hospital yang menambahkan risiko jangkitan Covid-19. Ayah juga malam tadi menghantar whatsapp agar tidak perlu lagi menemaninya dan berpesan jagalah mak sahaja di rumah. Pam vacuum ayah dibuka pagi ini, dibersihkan dan dipasang semula. Luka sudah lebih baik kata doktor, dan pam vacuum akan dibuka semula 22 April ini. Jadi lagi seminggulah ayah di hospital.

Tengah hari Kairul masak Pad Krapow. Seperti biasa sedap masakannya. Hujung minggu lalu dia sudah menyediakan senarai menu untuk dimasak setiap hari. Baguslah kerana tanpa senarai, pening juga mahu memikirkan makanan apa perlu di masak sepanjang PKP ini.

Teringat malam tadi kami menonton The Host, filem arahan Bong Joon Ho tahun 2006. Walaupun tidak sekemas Parasite, namun gaya dan identiti Bong Joon Ho menebal dalam filem ini. Kritikan pada sistem ekonomi dan kerajaan yang menekan golongan bawahan disampaikan bersahaja dan secara terus dalam The Host.

Petangnya aku bergerak pulang ke Seksyen 24. Malam ini aku temankan mak tidur setelah mak keluar dari hospital. Nampak berat badan mak berkurang. Satu kerana air di perut yang dibuang hampir 3 liter, dan mungkin juga kerana tiada selera makan di hospital. Percakapan mak kini jelas berbanding dulu, walaupun mak masih kurang bercakap. Masih tidak mampu bergerak sendiri, tidak tahulah fisio mampu menolong nanti 

Tuesday, April 14, 2020

Hari ke 28 PKP

14 April 2020, hari sepatutnya fasa ke 2 PKP berakhir namun seperti yang diumumkan jumaat lepas, PKP disambung untuk fasa ke 3, 2 minggu lagi.

Semalam aku bangun seawal 5.15 pagi menyediakan nasi impit, ayam semur dan sayur soon untuk mak di hospital. Doktor membenarkan mak makan apa2 diabmahu, mungkin kerana melihat mak memang tak ada selera makan makanan hospital. Laluan mrr2 kesas seperti biasa tiada roadblock, malah sampai ke Hospital Shah Alam tiada kerana aku lalu jalan dalam  makanan aku beri pada Eka, malas mahu mencuba naik kerana menghormati kerja pengawal keselamatan. Lagipun risiko jangkitan covid 19 itu ada benarnya. Kalau tak takkanlah hospital membatalkan waktu lawatan sepanjang PKP ini. Ada baki makanan aku tinggalkan di rumah 24. Perjalanan pulang aku singgah isi minyak di Petronas Ron 97 sekarang sudah 1.50 seliter. Murah namun menakutkan untuk aku yang bekerja dalam sektor O&G. Harapnya perang harga antara Saudi dan Russia cepat2 ia berakhir. Sudahlah permintaan minyak menjunam hingga ke 25 USD per barrel keran ekonomi yang tidak bergerak satu dunia, satu dunia yang lockdown. Habis isi minyak aku masuk ke kedai Mesra untuk ATM dan suratkhabar ayah nanti. Di pintu masuk ada hand sanitizer disediakan. Selepas itu aku singgah Shell kerana teringin pula kopi Costa. hazelnut latte kupilih. Di shell siap ada petugas menjaga pintu yang akan membuka pintu, mengambil suhu dan mengingatkan untuk mengenalan hand sanitizer.

Pulang ampang Kairul menyediakan kek pisang yang kami buat malam tadi, dengan siraman coklat panas  beryl, whipped cream dan sepotong pisang. Aku kemudian sambung kerja bersedia untuk meeting petang itu dengan Syazwan. Sepatutnya giliran aku masak tapi melihat aku sibuk, Kairul sukarela masak ikan goreng, tumis sawi dan sambal penyet. Eka whatsapp beritahu mak boleh discaj hati ini. baguslah, dah 10 hari mak di hospital. Ngah uruskan proses discaj mak. Aku terfikir perlukah aku balik esok petang kerana Ngah akan jaga ayah malam  atau biar sahaja Eka tidur dengan mak. Entahlah. Tengok la nanti macam mana.

Petangnya voice conference habis 4.30 petang, cepat2 aku bersiap kerana Long puasa hari ini lalu perlu balkk awal. Hari ini roadblock lancar kerana polis terus arah bergerak tanpa berhenti. Aku rasa kerana kalau ada seorang sahaja dalam kereta, sudah memadai. Kalau kelmarin, memang jem panjang ksrana proses bertanya mahu ke mana. Nasib baik mereka tak meminta surat atau bukti. Aku sampai hospital serdang 5.30 petang.

Gadis Di Tangga



Mak pernah menceritakan saat dia baru datang ke Padang Jawa. Waktu itu habis sekolah di Pahang Mak duduk di kampung. Kawan sekampung Ani Dollah terlebih dahulu sudah ke Padang Jawa bekerja di kilang.

Mak pergi ke stesen bas klang naik bas seorang diri dari kampung. sampai sahaja di stesen bas, mak menunggu lama, lebih dari satu jam katanya, untuk abang Ani Dollah mengambilnya kerana itu janji dengan Ani Dollah sebelum mak berangkat. Mak berkata dia hampir mahu membeli tiket balik ke kampung kerana takut lama sangat menunggu. Mujurlah abang Ani Dollah sampai dan membawa mak berjumpa kawan mak itu di Padang Jawa.

Rumah sewa mak bersama Ani Dollah di Padang Jawa adalah di lokasi yang kini berdekatan dengan Restoran Puti Bungsu. rumah papan ringkas dengan tangga kecil. Mak bekerja di Motorola Sungai Way, naik bas kilang ulang alik dari rumah.

Perkenalan dengan ayah adalah kerana rumah sewa ayah yang berdekatan dengan mak. lorong yang ayah lalu untuk balik ke rumah akan melalui rumah mak. asalnya bertegur sapa kala mak duduk di tangga rumah dan ayah pula baru pulang dari kerja. dari situ berputik cinta.

Mereka memilih untuk berkahwin pada 1978 dan berpindah ke rumah sewa yang besar sedikit di Padang Jawa. Lebih kedalam di Jalan Mat Raji.

Monday, April 06, 2020

Hari Ke 21 PKP

Aku mimpikan mak ayah malam tadi. aku memandu kereta membawa mak dan ayah ke rutin medical check up. Setelah drop mereka, aku pergi parking kereta. Kemudian aku menjumpai mak ayah dalam satu tempat seperti terowong dengan pintu besi, terowong seperti laluan longkang besar. Mereka sedang berborak tetapi dengan jarak yang lebih kurang 2 meter antara satu sama lain. aku bertanya mengapa ayah lepak di situ? aku membawak mak dengan kerusi roda untuk ke check up, aku ingat aku melaui tangga pendek (3 anak tangga) dua kali dengan laluan incline untuk kerusi roda laluan pertama ok, tetapi laluan kedua tidak ok sangat, seperti laluan kayu yang reput. mimpi aku terhenti di situ.


Thursday, April 02, 2020

Hari ke 16 PKP

Mak masuk hospital hari ini, kali kedua tahun ini selepas hujung Disember lepas. Semalam kami bawa mak dan ayah untuk ambil darah, dan mak dijadual follow up 6 April ini. Petang selepas ambil Hospital Shah Alam hubungi adik meminta mak dibawak ke kecemasan kerana bacaan hemoglobin rendah (6.5). Tengah hari tadi Ngah dan adik bawa mak ke hospital, aku pula putuskan untuk pergi lewat petang kerana mahu tunggu mak malam ini.

Aku sampai Hospital Shah Alam pukul 6.50 petang. Ada roadblock di jalan keluar lebuhraya persekutuan ke Hospital. Tiada soal banyak sewaktu aku cakap kagu ke hospital. Mak ok, sedang masuk darah. Ngah beritahu mak marah2 kerana dimasukkan ke Hospital Shah Alam, dia mahu masuk ke hospital swasta. Entahlah, aku senyap sahaja. Terus terang perkhidmatan disini tinggi kualiti. Cuma mungkin tiada privasi kerana wad campur. Lagipun memang garga di hospital swasta tidak masuk akal.


Tuesday, March 31, 2020

Hari ke 14 PKP

Pagi ini seperti biasa sudah terjaga pukul 6 pagi. Kairul terus solat subuh, kemudian melakukan yoga mungkin dan menyediakan sarapan. Makan omelette dengan roti yang Kairul buat sendiri tadi malam. Agak kompleks juga proses pembuatan roti. Selain sukatan yang betul, adunan harus dipikul sebati dengan cara knead. Juga masa menunggu bertambah kerana yis perlu kembang. Hasil roti kukira ok. Mungkin patut lebih kembang. Kairul nampak sedih tapi kukatakan biasalah kali pertama mencuba. Maka perlu cuba lagi.

Selepas sarapan aku menyiapkan slide untuk perbincangan petang tentang kerja seq strat East Lanka. Agak serabut kerana tidak dapat membuatnya di pejabat.

Semalam hari ke 13 PKP, setelah pulang dari Shah Alam pagi itu, aku tidak produktif akan membuat kerja. Risau tentang seq strat, aku putuskan pergi ke pejabat untuk mengambil kertas2. Kebetulan tengah hari aisyah danamal mengajak pergi ke cold storage. Lama tak bertemu agaknya. Mesti Amal terkesan benar dengan PKP ini.

Aku sampai di parking KLCC pukul 2.50 petang, awal dari waktu janji 3 petang bersama mereka. Hanya P1 dibuka, tentulah kerana tidak ada banyak kereta. Itupun mereka masih caj pemegang season pass dengan harga penuh. Aku lihat semua memakai topeng. Dihadapan Cold Storage aku terserempak dengan Fatiha. Dia mahu memulangkan laptop di ofis, alang2 membeli barang sekali di Cold Storage. Kukatakan padanya aku mahu membeli dark coklat untuk kek batik, selain mahu mengambil barang di pejabat.

Aisyah bergaya dengan baju jaket longgar biru putih. Amal pula serabai dengan jeans koyak dan t shirt. Aku agak berhati2 mahu berkomunikasi dengan mereka. Mungkin paranoid selepas ke Aeon Big Ampang jumaat lepas dimana polis marah dalam pasaraya jika ada orang yang terlalu dekat sesama sendiri. Mereka perlu patuhi penjarakkan sosial. Usai membeli barang aku naik ke pejabat. Di depan lif ada 3 orang lelaki sedang memasang selotap di dalam lif. Ada 4 kotak segiempat sama di lantai lif dengan tanda anak panah di setiap kotak menghala ke dinding. Sewaktu aku mahu balik, tiba2 ada seorang polis berjalan ke arahku sedang aku menuju ke tempat scan. Kami tersenyum sewaktu berselisih, namun belum sebelum sempat sampai ke tempat scan, dia tiba2 memanggil "Encik!" Dia bertanyakan apa ada dalam beg. Aku senyum sahaja menyatakan kerja dan buku2. Setelah puas memeriksa dia melepas lan aku. Begini mungkin rasanya menjadi pengintip. Haha.

Friday, March 27, 2020

Hari Ke 10 - PKP

Hari ini terjaga pukul 6 pagi. Seperti biasa penggera di telefon berbunyi nyaring mengejutkan aku dan Kairul dari tidur. Kairul bangun bergegas untuk solat subuh. Aku pula putuskan untuk sambung berehat setelah tidur agak lewat malam sebelumnya. Berehat sambil memikirkan situasi yang melanda satu dunia sekarang.

Sudah masuk hari yang kesepuluh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan bermula 18 Mac. Petronas Exploration pada 16 Mac telah memilih untuk mengambil pilihan Team A dan Team B yang akan bergilir-gilir seminggu setiap kumpulan untuk masuk ke pejabat. Aku di Team A namun aku meminta Naza mengalihkan aku ke Team B agar sama dengan Kairul. Senang mahu bergerak ke pejabat nanti. Tambah agak "beat the purpose jika tinggal serumah tapi berlainan waktu ke pejabat, tentulah akan mendedahkan risiko lebih kepada Covid 19.

Malam Isnin Kairul mengajak pergi membeli barang2 makanan, memandangkan kemungkinan ada lockdown yang akan mengganggu bekalan. Selepas maghrib kami naik kereta pergi ke Pasaraya Hero. Memang aku jangka akan ramai orang, tapi tak ku sangka ramainya sehingga pihak Hero mengawal kemasukan pelanggan. Adalah dalam 6 orang sedang beratur untuk masuk sambil ku intai kedalam memang penuh pasaraya itu. setelah menunggu 5 minit, barisan seperti tidak bergerak aku cadangkan kami pergi ke Aeon Big Ampang. Keadaan di Aeon Big juga agak penuh. Panic buying katakan tetapi memandangkan kawasan yang luas, masih ada ruang untuk pergerakan. Kami membeli barang2 yang dirasakan perlu, kebanyakannya barangan kering, juga barang2 untuk buat kek. Telur kami ambil dua papan, pertama kali aku beli telur ayam sebanyak itu. Keadaan terkawal, tidak ada suasana panas orang berebut membeli barang2. Cuma sewaktu membayar, barisan untuk ke kaunter bayaran menjulur sampai ke belakang ruang belakang. Tak ku sangka aku akan melalui perkara sebegini sepanjang hidupku.

Panjang barisan untuk bayar

Menjelang 17 Mac selepas pengumuman PKP oleh PM, Emi mengeluarkan emel menggesa semua kerja dari rumah, tidak kisahlah Team A atau Team B. Aku menyambut baik perkara itu. Walaubagaimanapun ada juga bos yang masih ingin mengekalkan susunan Team A dan Team B dengan alasan "kritikal". Entahlah, mungkin dia risau operasi kerja akan terganggu, atau mungkin memang tidak percaya pada staf untuk bekerja di rumah. Malamnya kami mencuba resepi kek Taiwan Castella (kek span Taiwan). Pertama kali baking, tapi tiada mixer. Hanya ada pemukul manual. Hasilnya ok, cuma kek tidak naik cantik. Mungkin lambat campur setelah dipukul kata Kairul menyebabkan udara2 dalam sebatian terkeluar dahulu. Rasanya masih sedap, seperti bingka pun ada rasanya.

18 Mac 2020. Hari pertama PKP sebenarnya terasa seperti hujung minggu kerana tidak perlu ke pejabat. Cuma bekerja di rumah memerlukan disiplin lebih lagi. Nasib baik memang ada satu monitor yang Kairul beli untuk aktiviti pelaburannya. Kami bergilir2 menggunakan monitor. tengah hari itu Kairul masak Spaghetti sardin. Malamnya aku pulang ke Shah alam kerana esoknya mak ada temujanji bertemu pakar hati di Hospital Selayang. Perjalanan pulang memang sengaja kupilih MRR2 Kesas kerana mahu elak roadblock. Memang kereta kurang, tapi perjalanan lancar. Harapnya sampai habis PKP tiadalah roadblock di MRR2 Kesas ini.

19 Mac 2020. Perjalanan ke Hospital Selayang lancar berbanding 9 haribulan lepas yang tersilap tarikh itu. Memang kereta sedikit. Keadaan di hospital juga tidak terlalu padat. Diantara kerusi menunggu diletakkan pelekat putih merah menandakan perlunya jarak antara individu. setiap yang mendaftar juga diwajibkan mengenakan hand sanitizer. setelah menunggu dalam 15 minit, nombor mak dipanggil. Doktor Haslina nama pakar yang kami temui. Baik orangnya, lemah lembut dan nampak prihatin. Doktor tidak membuat pemeriksaan rapi kerana keadaan mak yang sukar untuk bergerak tetapi berdasarkan perbualan, dia menyimpulkan hati mak memang sepatutnya buat transplant tapi ada dua syarat; umur 65 tahun ke bawah dan tidak obese. Mak tidak menepati syarat kerana obese dan kencing manis. Doktor memberikan ubat antiviral yang harga di pasaran adalah mahal. Pulang sahaja di Shah Alam dalam pukul 10.30, aku bersiap pulang ke Ampang. Tengah hari itu aku masak kicap tuna tumis kacang boto dan goreng tempe..



Rentas

 Hari ini Ismail Sabri umumkan bermula esok (Isnin) sudah boleh merentas negeri. Perkara pertama aku terfikir adalah untuk telefon Cikgu Dol...